suria

Pemaju Hartanah China, CFLD, Minat Teroka Pasaran Malaysia - Mustapa

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi taklimat oleh Presiden CFLD, Jerry Zhao (kiri) ketika melawat pameran di Dewan Pameran Gu'an, Rabu.

BEIJING: Pemaju hartanah China, China Fortune Land Development Co Ltd (CFLD), merupakan antara syarikat terkemuka yang telah menunjukkan minat mendalam untuk meneroka pasaran Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata CFLD, pakar terkemuka dalam pelaburan dan operasi bandar-bandar perindustrian baharu di China, membuat pelbagai pertanyaan untuk tujuan itu.

Minat dalam kalangan usahawan China yang ingin melabur di Malaysia semakin meningkat, dan CFLD adalah antara mereka, katanya kepada media Malaysia di sini.

Mustapa merupakan sebahagian delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China mulai Isnin.

Pengasas dan Pengerusi CFLD, Wang Wenxue, adalah antara orang paling kaya dan usahawan paling menonjol di China.

Syarikat itu yang merintis model perkongsian awam-swasta, telah membuka lebih 50 bandar baharu perindustrian.

Antaranya, Gun New Industry City yang dilawati Najib pada Rabu, dengan  CFLD melabur US$4.8 bilion (RM20.08 bilion) untuknya setakat ini.

Mustapa berkata bandar itu yang dibangunkan pada 2002, telah berubah menjadi Pusat Teknologi Global (GTC) dengan kerjasama Tsinghua University, Peking University dan Taman Sains dan Teknologi Zhongguancun.

Sehingga September tahun ini, hasil jualan CFLD mencecah US$13.2 bilion (RM55.22 bilion) dan jumlah aset melebihi US$32 bilion (RM133.89 bilion).

Ia juga terlibat dalam pembinaan dan operasi dua projek kereta api antara bandar, dan merupakan syarikat swasta pertama di China yang memberi tumpuan ke atas projek kereta api laju.

Mustapa berkata minat oleh syarikat seperti CFLD akan menyumbang kepada  hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan China, di samping meningkatkan lagi pelaburan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata tahun lepas, syarikat Malaysia melabur US$7.5 bilion (RM31.38 bilion) di China, yang meliputi pelbagai sektor, termasuk pelancongan, peruncitan dan pembuatan.

China melabur US$2.5 bilion (RM10.46 bilion) di Malaysia.

Pada masa ini terdapat kira-kira 5,000 syarikat Malaysia di China, termasuk Parkson, Sunway dan Sime Darby, katanya.

Mustapa menjangkakan pelaburan China ke Malaysia melambung tinggi, terutama hasil pemeteraian 14 perjanjian perdagangan antara syarikat Malaysia dan China bernilai RM144 bilion pada Selasa.

Beliau berkata Genting Resort Secret Garden Malaysia di Zhangjiakou, juga melabur dalam membina kemudahan ski untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada penduduk China.

Ini berikutan kejayaan Beijing membida Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, dan taman salji Genting Resort Secret Garden telah dipilih sebagai venue gaya bebas untuk sukan itu.

Pasaran ski China dilaporkan meningkat dengan cepat dengan jumlah penduduk yang kini bermain ski telah melebihi 12 juta pada 2016, atau kadar pertumbuhan tahunan mencecah 25 peratus.

Genting Resort Secret Garden di laman webnya melaporkan bahawa keseluruhan projek resort berkenaan meliputi kawasan seluas 100 kilometer persegi, dengan nilai pelaburan yang dicadangkan sebanyak US$3 bilion (RM12.55 bilion).

Syarikat itu merancang untuk menjadikannya sebagai resort pelancongan sepanjang musim menjelang 2022, dengan 88 trek ski sepanjang kira-kira 70 kilometer, sebagai tambahan kepada 22 kabel lif kira-kira 30km.

Resort itu ini mempunyai 35 trek ski dan tiga lif kabel berkelajuan tinggi, dengan 265 bilik hotel lima bintang dan suite serta 83 pangsapuri.

Resort ini merancang untuk membina 2,400 pangsapuri percutian serta  infrastruktur gaya bebas, selari dengan spesifikasi Sukan Olimpik Musim Sejuk untuk menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa utama.

Sementara itu, Mustapa berlepas ke Bandar Raya Cebu, Filipina untuk menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif (RCEP)  hari ini dan Persidangan Perniagaan Jerman Asia Pasifik di Hong Kong pada Jumaat.

Najib pada sidang akhbar untuk media Malaysia di sini pada Selasa berkata beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri China Li Keqiang bahawa kerajaan Malaysia akan menyokong usaha Genting Resort Secret Garden membuat persediaan sebagai lokasi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.-- Bernama

China, CFLD, Mustapa Mohamed

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain