suria

Kumpulan Pesawat Kargo Udara Dunia Berkembang 70 Peratus Menjelang 2035

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Boeing, mengunjurkan kumpulan pesawat kargo udara dunia akan berkembang 70 peratus pada 2035, untuk mencapai 3,010 pesawat dalam perkhidmatan berbanding  1,770 pada masa ini.

Naib Presiden Pemasaran Boeing Commercial Airplanes, Randy Tinseth, berkata terdapat permintaan untuk 2,370 pesawat kargo dari seluruh dunia, dengan 930 pesawat baharu manakala 1,440 lagi pesawat yang diubah suai, menjelang 2035.

"Pasaran kargo udara mencacat trend pertumbuhan yang rendah. Apabila perdagangan semakin pulih, kami yakin pasaran kargo udara akan menyaksikan pertumbuhan dalam jangka panjang," katanya menerusi satu kenyataan, Khamis.

Tinseth berkata pasaran e-dagang akan menjadi faktor utama yang akan memacu pertumbuhan kargo udara, dengan Asia menerajui pasaran antarabangsa dalam purata pertumbuhan kargo udara.

"Selain itu, pasaran ekspres China terus berkembang, dengan kadar pertumbuhan lima tahun sebanyak 55 peratus dalam jumlah kargo dan 39 peratus dalam pendapatan," katanya.

Berdasarkan Unjuran Kargo Udara Dunia dwitahunan yang dikeluarkan oleh Boeing, kumpulan pesawat kargo udara bakal menyaksikan permintaan untuk 550 pesawat kargo besar, 380 pesawat kargo berangka lebar, 400 pesawat berangka besar yang diubah suai serta 1,040 pesawat sederhana.

Unjuran itu juga menunjukkan bahawa pesawat kargo khusus masih mengangkut lebih daripada separuh kargo udara dan kekal sebagai penyedia utama kapasiti  kargo.

Produk Boeing menyumbang lebih daripada 90 peratus kapisiti khusus kargo dunia, menawarkan penyelesaian bersepadu bagi operator pengangkut, sama ada untuk membawa kargo nyata atau barangan perindustrian.

Daripada pesawat kargo standard kepada pesawat kargo besar, kumpulan pesawat Boeing membabitkan pesawat kargo 767-300, 777 dan 747, serta pesawat yang diubah suai, 737BCF dan 767-300BCF. -- Bernama

Boeing, Randy Tinseth

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain