suria

Harga Minyak Mentah Dijangka Terus Tidak Menentu

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah dijangka terus tidak menentu hingga akhir tahun ini, menurut OCBC Bank.

Katanya ini berdasarkan rancangan Rusia untuk mengurangkan pengeluaran minyak yang tidak jelas, dan susulan penangguhan pelaksanaan pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) pada November.

Katanya anggota OPEC telah mengalami harga minyak yang rendah untuk tempoh yang lama, yang menjejaskan fiskalnya.

"Itu sahaja sepatutnya dapat mempengaruhi kartel untuk melaksanakan pengurangan pengeluaran. Pertumbuhan global perlu memacu hingga 2017 dan menyokong permintaan minyak mentah. Ini kemudiannya akan memberi rangsangan kepada harga komoditi hingga 2017," menurut bank itu dalam kenyataan.

Bagi minyak sawit Malaysia, OCBC berkata pengeluaran dijangka susut 13.2 peratus pada tahun ini, berikutan pengeluar menghadapi pengeluaran yang rendah akibat El Nino pada 2015.

Fenomena La Nina yang berlaku pada tahun ini menurunkan kepada 40 peratus (susut daripada 75 peratus sebelum ini), menurut laporan rasmi terkini daripada Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan.

"Dengan keadaan cuaca yang melampau, harga mungkin meningkat hingga akhir 2016 berdasarkan pengeluaran bermusim yang rendah, tetapi kemudiannya rendah hingga 2017," katanya.

Sementara itu, bagi komoditi lain seperti emas, logam berharga itu disokong oleh sentimen elak risiko sejak awal 2016, didahului oleh kebimbangan mengenai kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan AS, pertumbuhan ekonomi China yang perlahan dan keputusan Brexit yang tidak dijangka.

"Senario asas kami ialah pertumbuhan global memacu, walaupun secara berperingkat, hingga 2017.

"Dengan Amerika Syarikat menjadi antara yang menyerlah pada tahun depan, Fed dijangka menaikkan kadar faedah pada Disember 2016, dan dua kali lagi pada 2017.

"Dengan prospek global 2017 yang menggalakkan, persekitaran kadar faedah yang tinggi akan menyokong prospek emas yang rendah pada tahun depan," kata OCBC.

Artikel Lain