suria

Terengganu Cadang Bina Resort, Taman Tema Air

KEMAMAN: Kerajaan Negeri Terengganu merancang untuk meningkatkan lagi infrastruktur dan prasarana di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pihaknya bercadang untuk menjalankan beberapa projek tambahan termasuk untuk membina resort yang dilengkapi taman tema air di zoo itu.

"Kita bercadang untuk membina kemudahan rekreasi untuk aktiviti air dan kita juga mahu menambah baik tempat ini...mungkin sediakan resort tetapi kita akan menggunakan konsep 'private task' yang mana kita akan galakkan pelabur atau sektor swasta untuk terlibat dalam projek ini. 

"Kita juga akan minta Majlis Ekonomi Negeri Terengganu (MEN-T) untuk mengkaji cadangan ini serta mencari jalan bagaimana untuk menaik taraf lagi zoo ini supaya banyak manfaat dan kerancakan ekonomi akan berlaku," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke zoo berkenaan di sini pada Jumaat.

Ahmad Razif berkata untuk menggalakkan lagi pelancong ke zoo tersebut, pihaknya juga bercadang untuk memperkenalkan aktiviti perkhemahan dan pelbagai konsep lain untuk menarik pengunjung.

"Mungkin juga pihak zoo akan fikir untuk lakukan aktiviti yang boleh menjana pendapatan, secara tidak langsung dapat membantu dari segi menguruskan kewangan zoo dan kita sedia maklum untuk menguruskan zoo perbelanjaannya agak tinggi.

"Kita juga melihat untuk menjadikan zoo ini sebagai pusat konservasi atau pusat pemuliharaan binatang-binatang liar yang mungkin kita boleh dapatkan dana daripada beberapa pihak lain...ini yang kita akan fikirkan sebagai satu alternatif untuk memastikan bahawa zoo ini dapat diuruskan dan dilaksanakan dengan menggunakan sumber daripada pihak lain," katanya.

Ahmad Razif berkata Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman yang terletak di Bukit Takal hasil cetusan idea bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said itu berjaya menarik hampir 170,000 pengunjung sejak mula dibuka pada tahun 2013. 

"Sekarang juga kita sedang giat menjalankan pembangunan fasa kedua zoo ini...sehingga kini projek tersebut telah mencapai sehingga 95 peratus dan kita jangkakan haiwan untuk zoo fasa dua yang meliputi Safari Afrika dan Australia akan kita bawa masuk sebelum cuti persekolahan hujung tahun ini," katanya. 

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak RM55.76 juta dibelanjakan untuk pembangunan Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman yang dibina pada tahun 2011 di kawasan seluas 48.7 hektar itu. - BERNAMA

Terengganu, Zoo Kemanan

Artikel Lain