suria

Malaysia Contoh Terbaik Sistem Kewangan Islam

KUALA LUMPUR: Penerbit sukuk terbesar di dunia, Malaysia, telah menjadi contoh terbaik kepada negara-negara lain yang berminat untuk melaksanakan sistem kewangan Islam, kata Institut Latihan dan Kajian Islam (IRTI).

Pengurus Bahagian Penyelidikan Kewangan dan Ekonomi Islam Abdul Ghafar Ismail memetik Indonesia sebagai contoh, yang telah memanfaatkan kepakaran Malaysia dan berkemungkinan menjadi penerbit sukuk terbesar akan datang.

"Indonesia sedang mempertimbangkan sukuk sebagai satu cara bagi membiayai projek infrastrukturnya, khususnya dalam sektor pengangkutan," kata beliau  dalam satu sidang akhbar selepas pembukaan Persidangan Antarabangsa Kewangan dan Ekonomi Islam ke-11 (ICIEF) di sini pada Selasa.

Abdul Ghafar berkata, Malaysia boleh memberikan kepakarannya kepada negara-negara Afrika seperti Senegal, Kenya dan Nigeria, yang sedang mencari kaedah alternatif untuk menyokong pembangunan ekonomi mereka berikutan kejatuhan harga minyak dunia.

"Untuk melaksanakan sistem kewangan Islam yang efisien, adalah penting (bagi negara-negara yang berminat) untuk mewujudkan satu pelan induk yang akan menentukan hala tuju strategik industri.

"Adalah penting juga bagi mendapatkan asas-asas yang betul," katanya.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan secara bersama oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kumpulan Bank Pembangunan Islam, IRTI dan Persatuan  Ekonomi Islam Antarabangsa dengan disokong oleh Kementerian Kewangan.

Bertemakan 'Rethinking Islamic Economics and Finance: Paving the Way Forward for Inclusive and Sustainable Development', ia memaparkan lebih daripada 100 kertas polisi oleh para peserta dari 36 negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain