suria

Pengusaha Madu Kelulut Peroleh RM300 Juta Setahun

BESUT: Pengusaha industri madu kelulut mampu memperoleh pulangan sebanyak RM280 juta hingga RM300 juta setahun, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Badrul Hisham Mohd.

Beliau berkata berikutan itu, pihaknya berhasrat menjadikan madu kelulut sebagai satu daripada produk terbaharu dalam meningkatkan pendapatan negara.

Katanya mengikut rekod kementerian, terdapat 6,000 penternak kini mengusahakan kira-kira 60,000 sarang kelulut di seluruh negara.

"Setiap sarang berjaya menghasilkan dua kilogram madu dalam sebulan yang dipasarkan dengan harga antara RM150 hingga RM200 sekilogram. Kementerian berhasrat membimbing para penternak madu kelulut ini dan memasarkannya melalui bantuan Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Industri Asas Tani di Demong Beach Resort, Besut di sini, pada Ahad.

Badrul Hisham berkata kementerian berkenaan juga mengiktiraf madu kelulut sebagai 'Super Food' berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Mardi bahawa ia mempunyai khasiat yang tinggi dari segi nutrisi berbanding produk makanan lain. - BERNAMA

Madu Kelulut

Artikel Berikut

Artikel Lain