suria

Syarikat Malaysia Catat Potensi Jualan RM54.5 Juta di Australia

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia mencatatkan potensi jualan bernilai RM54.46 juta di pameran Fine Food Australia 2016 di Melbourne yang berlangsung pada 12-15 September, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Daripada jumlah itu, RM8.54 juta ialah jualan sebenar, terdiri daripada perkongsian pengedaran dengan pengimport dari Australia dan New Zealand, perjanjian bekalan dengan hotel lima bintang di Melbourne, dan beberapa janji niaga pengeluar peralatan tulen dengan syarikat makanan dan minuman Australia.

"Sebanyak 24 buah syarikat Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan menyertai pameran itu, yang merupakan pameran perdagangan tahunan terbesar di Australia.

"Ia merupakan penyertaan MATRADE ke-11 dalam pameran tersebut," kata perbadanan itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, MATRADE berkata bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, eksport makanan diproses ke Australia bernilai RM691.5 juta.

"Lima produk makanan utama Malaysia dieksport ke negara itu ialah produk boleh dimakan dan penyediaan; koko dan penyediaan koko; bijirin siap dan penyediaan tepung; majerin dan lelemak; serta makanan laut diproses," kata MATRADE.

Australia ialah destinasi eksport keempat terbesar Malaysia bagi makanan diproses. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain