suria

Lafarge Akan Tingkatkan Tawaran, Kapasiti Produk Bagi Lonjakan Prestasi Kewangan

KUALA LUMPUR: Lafarge Malaysia Bhd akan mengembangkan penawaran produk dan kapasiti bagi meningkatkan prestasi kewangannya, kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Thierry Legrand.

Pengeluar simen itu akan membangunkan produk dan memberikan servis terbaik kepada pelanggan bagi membezakan syarikat itu daripada pesaing.

"Kami telah memperkenalkan Morpla, mortar sedia digunakan untuk dinding dan lantai, yang mampu memberikan pelanggan dengan konsistensi dan kecekapan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Selasa.

Menurut Legrand, sebagai sebahagian daripada pelan perkembangan simennya, Lafarge Malaysia baru-baru ini telah menyelesaikan pemasangan penekanan bertorak di Rawang, Selangor dan akan menyiapkan pembinaan sebuah kilang simen di Kanthan, Perak dalam tahun ini.

"Menjelang akhir tahun, dua kilang ini akan menambah kapasiti syarikat dengan gabungan pengeluaran sebanyak 1.2 juta tan metrik dan ini akan meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih baik bagi memenuhi permintaan pasaran," katanya.

Beliau juga berkata syarikat akan melabur dalam kilang "drymix" keduanya di Pasir Gudang, Johor Baharu pada hujung tahun ini tetapi tidak mendedahkan nilai terbabit.

Sektor hartanah telah menunjukkan tanda melemah pada tahun lepas, khususnya dalam segmen kediaman mewah tetapi kadar pembangunan infrastruktur utama masih tidak terjejas.

Syarikat itu berjaya mendapatkan projek besar dalam loji kuasa Jimah East dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid). 

"Kami mendapat kemajuan dalam perbincangan untuk beberapa projek besar yang lain," katanya.

Lafarge Malaysia mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM30.75 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2016 daripada RM99.35 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas.

Hasil menurun kepada RM669.78 juta daripada RM696.08 juta sebelum ini, disebabkan oleh sumbangan jualan yang lebih rendah daripada bahagian simen.

Pengambilalihan Holcim Malaysia juga terjejas pendapatannya.

Pada bulan November tahun lepas, Lafarge Malaysia telah memperolehi Holcim (M) Sdn Bhd daripada PT Holcim Indonesia dengan harga RM325.5 juta.

Gabungan entiti baharu Lafarge dan Holcim Malaysia akan meningkatkan kapasiti simen tahunan kepada 14.14 juta tan metrik daripada 12.95 juta tan metrik.-- Bernama

Lafarge, Thierry Legrand, Rawang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain