suria

UEM Sunrise Fokus Kukuhkan Asas Syarikat Bagi Memacu Pertumbuhan

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd akan memberi tumpuan kepada mengukuhkan asas syarikat bagi memacu pertumbuhan berikutan pasaran hartanah yang mencabar tahun ini.

Pengarah Eksekutif,Datuk Izzaddin Idris berkata, syarikat telah menggariskan beberapa keutamaan untuk diberi tumpuan tahun ini, antaranya mewujudkan strategi pemasaran yang komprehensif, meningkatkan sistem serta proses bagi memastikan penyerahan tepat pada masa serta berkualiti bagi membina reputasi sebagai pemaju yang memacu nilai.

Dalam satu kenyataan, Izzaddin berkata, pihaknya menjangka permintaan untuk sektor hartanah akan kekal lemah ketika ekonomi Malaysia merosot, syarat pinjaman yang terus ketat dan sentimen pengguna serta perniagaan kekal pasif.

Pembangunan Iskandar Puteri akan terus menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang syarikat, oleh itu kami merancang meningkatkan pembangunan Gerbang Nusajaya sebagai enjin komersil dan perniagaan Iskandar Puteri dan pintu masuk Iskandar Malaysia.

"UEM Sunrise akan meneruskan usaha mempelbagai jenis produk tahun ini seperti Melia Residences di Gerbang Nusajaya setelah ia menerima sambutan menggalakkan daripada pembeli," kata Izzaddin.

Melia Residences ialah projek pembangunan lima fasa dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM573 juta.

"Tiga fasa pertama mengandungi 66 unit strata bertanah dengan GDV RM280 juta. Selepas melihat hampir RM206 juta jualan daripada dua fasa pertama setelah dua hari dilancar, fasa ketiga pula dilancar pada akhir April dan kini sudah dijual 50 peratus," katanya.

Selain melancarkan pembangunan seterusnya dan membersihkan inventori, syarikat akan juga meningkat pertumbuhan melalui kerjasama dengan rakan kongsi strategik, bagi menambah nilai projek sedang dilaksana.

Izzaddin berkata, berikutan sentimen pengguna dan pasaran semasa, UEM Sunrise juga merancang memupuk pertumbuhan organik melalui perniagaan berkaitan hartanah.

"Kitaran menurun hartanah sekarang adalah masa paling baik untuk kami memberi tumpuan mewujudkan asas pendapatan berulang untuk syarikat dengan memanfaatkan projek sedia ada seperti perniagaan runcit kami (Publika  and  Mall of Medini).

"Kami juga akan mengembangkan pendapatan daripada pengurusan hartanah, pengurusan projek, perkhidmatan pajakan serta hospitaliti," tambahnya.-- Bernama

Artikel Lain