suria

Malaysia Dan China Kenal Pasti 12 Sektor Untuk Kerjasama

BEIJING: China dan Malaysia telah mengenal pasti 12 industri yang berpotensi untuk kerjasama, kata Pengarah Bahagian Komunikasi dan Perancangan Kerjasama Antarabangsa (ICC), Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC), Guo Jianmin.

Katanya, selain dalam bidang perindustrian dan pelabuhan, wujud beberapa sektor yang ada potensi kerjasama di antara China dan Malaysia termasuk pembuatan serta perkhidmatan.

"Bukan sahaja dalam pembuatan peralatan berteknologi tinggi, potensi kerjasama juga wujud dalam industri perkhidmatan dan aeroangkasa serta pembinaan  infrastruktur seperti landasan kereta api dan lebuh raya.

"Terdapat 12 kawasan untuk tujuan ini. Berdasarkan cadangan Malaysia dan China, terdapat 54 projek-projek utama yang telah dikenal pasti untuk kerjasama," katanya dalam taklimat media mengenai dasar China yang berkaitan dengan kapasiti kerjasama antarabangsa sempena dengan lawatan wartawan Asia Tenggara selama tujuh hari di negara itu.

Lawatan itu yang merangkumi Beijing, Tianjian, Suzhou Selatan dan Quanzhou telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Asia Kementerian Luar Negeri dan dibantu oleh ICC.

Objektifnya adalah untuk membolehkan wartawan Asia Tenggara memahami  kerjasama kapasiti pengeluaran China bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik serta melakukan lawatan ke atas syarikat-syarikat yang terbabit dalam program itu.

Katanya, projek-projek yang dicadangkan akan memberi manfaat kepada syarikat-syarikat dari China dan Malaysia malahan, kedua-dua negara akan bekerjasama untuk mengenal pasti beberapa projek utama daripada 54 rancangan yang sudah dikenal pasti bagi memudahkan pelaksanaan agenda tersebut.

Sementara itu, pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di China ketika diminta mengulas mengenai potensi kerjasama itu menyatakan, kedua-dua pihak akan memudahkan perlaksanaan projek termasuk mendapatkan rakan kongsi perniagaan.

"Kami berharap kerjasama kepada menggalakkan projek-projek pelaburan tertentu akan membuahkan hasil yang ketara. Kami juga tidak sabar untuk bekerjasama dan bermesyuarat secara berkala dengan ICC," kata Konsul (Pelaburan) Simon Lee Yew Weng ketika dihubungi.

Lee berkata Mida berharap kerjasama bersama itu akan mampu membangunkan sektor industri yang amat penting kepada Malaysia.

ICC yang ditubuhkan pada tahun 1993, merupakan sebuah institusi kerajaan yang diletakkan di bawah NDRC. Sejak 2011, ICC telah berubah dari sebuah institusi yang pakar dalam perkhidmatan asing untuk agensi-agensi kerajaan, kepada sebuah badan pemikir yang terlibat dalam pelbagai misi termasuk kajian polisi, kerjasama antarabangsa, perancangan dan perundingan, perkhidmatan asing dan latihan tahap tinggi.

Artikel Lain