suria

UEM Sunrise Jual Pangsapuri Servis Melbourne Kepada Ascendas

MELBOURNE: Pemaju hartanah berprofil tinggi Malaysia, UEM Sunrise Bhd, hari ini menandatangani perjanjian dengan Ascendas Hospitality Trust bagi penjualan pangsapuri servis, Aurora Melbourne Central yang baru dilancarkan di LaTrobe Street pada harga A$120 juta.

Aurora Melbourne Central dilenkapi 252 unit pangsapuri servis di antara tingkat 10 hingga 32 serta kemudahan pada tingkat sembilan termasuk sebuah restoran di aras bawah.

Aurora Melbourne merupakan projek sulung UEM Sunrise di Australia dengan  nilai pembangunan kasar sebanyak A$770 juta.

Pembinaan projek itu telah bermula dan dijangka siap pada 2019.

Pembangunan projek setinggi 92 tingkat itu mengandungi keluasan lebih daripada 120,000 meter persegi, termasuk 941 pangsapuri kediaman, ruang kedai runcit mewah, pejabat strata serta pangsapuri servis sebanyak 252 unit.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata syarikat itu berasa sukacita selepas menandatangani perjanjian dengan Ascendas Hospitality Trust.

Ini akan membolehkan kedua-dua pihak untuk mencipta persekitaran perniagaan yang mampan, katanya.

Anwar juga berkata Ascendas Hospitality Trust mempunyai portfolio aset-  aset hospitaliti yang mengkagumkan di rantau Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif Ascendas Hospitality Trust, Tan Juay Hiang berkata, usaha sama di Melbourne ini akan meningkatkan portfolio syarikatnya dan mungkin terdapat potensi sinergi dengan hotel di Melbourne seperti Pullman dan Mercure di Albert Park.

UEM Sunrise

Artikel Lain