suria

Kejatuhan Nilai Ringgit Tidak Jejas Eksport Nestle

PASIR PUTEH: Kejatuhan nilai ringgit tidak banyak menjejaskan eksport produk makanan dan minuman keluaran Nestle (Malaysia) Berhad berikutan penetapan perjanjian harga dengan negara pengguna yang diputuskan lebih awal.

Pengurus Pemasaran Nestle, Hoay Ling berkata lebih 100,000 metrik tan produk syarikat itu dieksport ke Indonesia, Abu Dhabi serta Eropah setiap tahun.

"Produk seperti mi segera, sos tomato dan cili serta air minuman coklat (Milo) adalah yang paling laris di pasaran global dan harga jualan yang ditawarkan juga tidak banyak berubah," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Penyelidikan Pertanian Maggi di Kampung Kulim di sini, Selasa.

Majlis dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Zawawi Othman itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan Aloha Sulaiman.

Menurut Hoay, harga produk keluaran syarikat itu juga tidak banyak berubah di pasaran antarabangsa berikutan sebahagian besar bahan mentahnya daripada sumber tempatan.

"Kita turut memeterai perjanjian kontrak dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang yang bersetuju membekalkan puri cili untuk dijadikan sos," katanya.

Sementara itu, Zawawi yang juga Pengerusi PPK Bukit Awang berkata pihaknya diberi kuota untuk membekalkan 300 metrik tan puri cili kepada syarikat itu mulai tahun depan.

"Kita telah mengenalpasti kawasan seluas 70 hektar untuk ditanam cili yang  membabitkan seramai 100 petani.

"Petani-petani berkenaan dijangka memperoleh hasil sebanyak RM1.5 juta dalam tempoh enam bulan jika menggunakan amalan pertanian yang betul," katanya.

Nestle

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain