suria

Maybank Perluas Kekayaan Persendirian Ke Sarawak

KUALA LUMPUR: Maybank meluaskan perniagaan pengurusan kekayaannya ke Sarawak dengan pembukaan Pusat Kekayaan Persendirian baharu di Kuching yang terletak dalam Maybank Crown Towers Premier Centre sedia ada.

Rangkaian global Pusat Kekayaan Persendirian Maybank kini terdapat lima buah dengan pusat lain terdapat di Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong dan London, menurut bank itu.

Dalam kenyataan hari ini, Maybank berkata pengurusan kekayaan kekal menjadi tonggak utama pertumbuhannya untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Sehingga pada September 2015, jumlah perniagaan kekayaan persendiriannya mencatatkan jumlah aset kewangan (TFA) sebanyak RM20 bilion. Digabungkan dengan segmen kekayaan premier, jumlah perniagaan pengurusan kekayaannya pada RM150 bilion.

Ketua Kekayaan Persendirian Serantau, Alvin Lee berkata pusat di Kuching menjadi kemudahan pertama di Malaysia Timur, dan ia melengkapi rangkaian enam Pusat Kekayaan Premier yang sedia ada di Sabah dan Sarawak.

"Susulan pertumbuhan pesat segmen pelangaan yang berkemampuan yang disediakan oleh pusat perkhidmatan kekayaan premier, kami telah membuka pusat kekayaan persendirian baharu ini untuk memenuhi keperluan kewangan mereka daripada segmen pasaran ini," katanya.

Alvin berkata pusat di Sarawak akan menawarkan produk dan perkhidmatan yang komprehensif, khidmat nasihat mengenai pelaburan untuk memaksimumkan pulangan pelanggan dan perhatian yang tinggi diberika kepada keperluan pelanggan untuk meningkatkan penjanaan kekayaan.

"Dengan kepakaran yang ditawarkan Maybank, kumpulan akan terus menawarkan pulangan yang konsisten untuk pelanggan. Pada tahun 2014, nasihat pelaburan kami menjana purata sebanyak 12 peratus pulangan tanpa kadar hutang.

"Pada tahun ini, walaupun persekitaran perniagaan mencabar yang menyaksikan banyak dagangan pasaran ekuiti dalam keadaan amat tidak menentu, kami masih dapat mengatasi penanda aras dalam strategi pelaburan kami," katanya.

Komitmen Maybank terhadap perniagaan pengurusan kekayaannya diiktiraf baru-baru ini apabila ia menerima sembilan anugerah pada Sidang Kemuncak dan Anugerah Kekayaan Global Antarabangsa Bank Persendirian Ke-25.

Ini susulan anugerah Bank Persendirian Terbaik di Malaysia, Penyedia Pengurusan Kekayaan Terbaik di Singapura dan Penyelesaian Kekayaan Islam Terbaik di peringkat global.

Maybank

Artikel Berikut

Artikel Lain