suria

Ekonomi Malaysia Berkedudukan Lebih Kukuh Tangani Cabaran - Najib

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia pada masa kini jauh lebih kukuh, berdaya tahan serta mampu menangani sebarang cabaran berbanding ketika krisis kewangan pada 1997/1998.

Ini, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hasil pelaksanaan  pelbagai langkah pembaharuan yang diambil kerajaan.

"Sejak 15 tahun lepas, kita melaksanakan pelbagai langkah pembaharuan struktur yang penting dalam sistem kewangan serta perbankan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Pasaran Modal Sedunia, di sini, Khamis.

Antara langkah pembaharuan itu termasuk memperkenalkan rangka kerja kawal selia penanda aras antarabangsa dan rejim kawalan lebih ketat, pengukuhan peraturan berhemat bagi penggiat pasarta serta pembaharuan tadbir urus koporat yang meluas.

Hasilnya, antara kejayaan langkah pembaharuan itu termasuk kemunculan pasaran bon mata wang yang ketiga terbesar di Asia dengan nilai RM1.1 trilion.

Menurut Najib, pasaran bon itu turut membantu mengurangkan penggantungan negara terhadap pinjaman jangka pendek menggunakan mata wang asing sebagaimana yang berlaku dalam krisis 1997-1998.

Selain daripada itu, pasaran ekuiti juga berkembang kepada RM1.5 trilion tahun ini berbanding RM175 bilion pada 1998, dengan lembaran imbangan korporat yang lebih kukuh dan syarikat senaraian awam yang ditadbir dengan baik, katanya.

"Pembelian yang lebih merupakan daripada institusi yang diterajui pelabur institusi domestik Malaysia, juga berfungsi sebagai sumber dana jangka panjang bagi pasaran modal," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Pada masa yang sama, beliau berkata pengantara berjaya memenuhi standard kehematan, pematuhan dan pengurusan risiko yang tinggi dengan industri pembrokeran saham beroperasi pada paras tahap kadar hutang 0.1 kali ketika ini berbanding sehingga setinggi 1.3 kali pada 1998.

"Pembaharuan struktur ini telah mengukuhkan keupayaan sistem kewangan Malaysia bagi mengharungi keadaan turun naik tidak menentu dan melaksanakan pelarasan dengan secara teratur.

"Semasa krisis kewangan global mutakhir ini, sebagai contoh, pasaran modal dan sistem perbankan kita terus berfungsi tanpa terjejas, tanpa gangguan atau mengalami sebarang kegagalan," katanya.

Najib berkata daya tahan ini membolehkan sistem kewangan negara memenuhi fungsi paling utamanya selaku pemboleh penting bagi pembangunan ekonomi.

Beliau berkata dengan berperanan sebagai sumber pembiayaan jangka panjang bagi melengkapi sistem perbankan, pasaran modal Malaysia telah menyalurkan RM376 bilion menerusi tawaran awam permulaan dan terbitan bon sejak 2012.

"Ini telah menghasilkan pembentukan modal dan pekerjaan dalam sektor-sektor yang luas seperti prasarana, telekomunikasi dan pertanian dengan pembentukan modal tetap kasar antara 26 dan 27 peratus daripada keluaran dalam negara kasar bagi tempoh sama," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan akan perlunya bagi pembuat dasar kekal di landasan dalam menyediakan liberalisasi dan keterbukaan lebih baik kepada komuniti antarabangsa.

"Kita seharusnya ingat bahawa faedah jangka panjang daripada integrasi Malaysia ke dalam global ekonomi jauh lebih penting daripada gangguan jangka pendek," katanya.

Najib turut melahirkan keyakinan terhadap kemampuan Jawatankuasa Khas Ekonomi yang baru dibentuk dalam merangka pelan tindakan serta merta dan jangka sederhana bagi mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi Malaysia.

"Saya yakin kebijaksanaan dan pengalaman yang terkumpul jawatankuasa itu akan memastikan ekonomi kita kekal berada di landasan yang dihasratkan," katanya.

Beliau berkata dengan semua usaha dilaksanakan setakat ini, Malaysia dalam keadaan baik berada di landasan yang betul untuk menjadi negara maju pada 2020.

Mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN, perdana menteri berkata usaha penyepaduan serantau adalah seiring dengan sektor swasta yang semakin berperanan aktif dalam membuka peluang besar yang ditawarkan rantau itu.

"Usaha penyepaduan dalam sektor kewangan, terutamanya, menunjukkan kemajuan yang baik, seperti kita boleh lihat daripada kehadiran penyedia perkhidmatan sektor kewangan dengan kedudukan serantau yang kukuh," katanya.

Simposium dua hari bertema "Pasaran dan Teknologi: Memacu Pertumbuhan Masa Hadapan melalui Inovasi" itu merupakan sebuah platform untuk menggalakkan perbincangan bermaklumat mengenai pasaran modal dengan pemimpin pemikir global, pembuat dasar, kumpulan berpengaruh dalam membuat keputusan, pakar domain serta pemimpin perniagaan dan pasaran.

Ekonomi, Malaysia, Najib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain