suria

ACMF Memacu Jalinan Hubungan Lebih Baik Bagi Pasaran Modal Asean

KUALA LUMPUR: Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) terus memacu jalinan hubungan yang lebih baik bagi pasaran modal serantau bernilai US$3.5 trilion (US$1 = RM4.20) yang bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang dan ruang untuk perniagaan dan pelabur ASEAN serta menyumbang kepada pertumbuhan dan integrasi ekonomi serantau, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Seramai 10 pengawal selia pasaran modal ASEAN berhimpun di sini hari ini untuk menghadiri mesyuarat ke-23, anjuran SC.

SC pada masa ini merupakan Pengerusi ACMF, sebuah badan pengawal selia pasaran modal ASEAN peringkat tinggi diwujudkan di bawah naungan Menteri-Menteri Kewangan ASEAN untuk integrasi pasaran modal serantau yang lebih mantap.

Menurut SC, ACMF hari ini mengumumkan pelaksanaan Rangka Kerja Semakan yang Diperkemas bagi Prospektus Bersama ASEAN, melalui pelancaran sebuah buku panduan yang memperincikan aspek operasi rangka kerja tersebut.

Penerbit rentas sempadan kini boleh menikmati masa terbitan ke pasaran dengan lebih singkat dan akses kepada modal di seluruh rantau ini dengan lebih cepat, katanya.

Rangka kerja tersebut ditandatangani oleh SC, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Thailand pada Mac tahun ini.

SC berkata mesyuarat hari ini meneliti semula kemajuan inisiatif utama di bawah ACMF, termasuk rangka kerja semakan prospektus ASEAN, kedudukan tadbir urus korporat syarikat-syarikat awam yang tersenarai di rantau ini, serta penawaran rentas sempadan Skim Pelaburan Kolektif (CIS) ASEAN.

Pengawal selia pasaran modal ASEAN turut membincangkan kesan perkembangan pasaran terkini dan prospek bagi pasaran modal di rantau ini, katanya.

Suruhanjaya itu berkata rangka kerja bagi penawaran rentas sempadan CIS ASEAN, yang telah memulakan operasi pada Ogos 2014, mendapat sambutan baik daripada pengurus dana di rantau ini, dan setakat ini, 11 dana telah menerima Kelayakan CIS ASEAN daripada negara-negara ahli yang mengambil bahagian, iaitu  Malaysia, Singapura dan Thailand.

Sementara itu, ACMF memuktamadkan Pelan Tindakan ACMF 2016-2020, yang dibangunkan melalui kerjasama dengan pengawal selia dan peserta pasaran di rantau ini, untuk menetapkan objektif strategik ACMF bagi mencapai pasaran modal serantau yang saling berhubung, menyeluruh dan berdaya tahan untuk tempoh lima tahun akan datang.

ACMF menyedari pencapaian objektif Pelan Tindakan itu bergantung kepada kesesuaian komersial inisiatif tersebut dan sambutan daripada industri.

ACMF akan memulakan proses perbincangan yang lebih berfokus berkaitan dengan Pelan Tindakan ACMF dengan pemegang kepentingan utama termasuk peserta industri domestik utama di setiap negara negara ahli.

Antara inisiatif utama di bawah Pelan Tindakan itu ialah Program Pembangunan Pasaran ACMF (A-MDP) untuk memudahcara pembangunan negara-negara anggota melalui program pembangunan kapasiti.

A-MDP bertujuan membolehkan penyertaan menyeluruh negara-negara anggota dalam inisiatif ACMF, serta memupuk kepakaran kawal selia domestik dan serantau yang diiktiraf di peringkat global.

Pelan Tindakan tersebut akan dibentangkan kepada Menteri-Menteri Kewangan ASEAN untuk kelulusan di mesyuarat akan datang pada 2016.

Maklumat lanjut mengenai ACMF dan inisiatifnya boleh didapati di laman web  ACMF, www.theacmf.org.

ACMF, Asean

Artikel Lain