suria

Maybank Meterai Perjanjian Dengan Honda Malaysia

KUALA LUMPUR: Maybank memeterai perjanjian dengan Honda Malaysia Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan kewangan komprehensif untuk penyelesaian perniagaan automotif.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Maybank berkata perjanjian itu, yang pertama seumpamanya bagi syarikat automotif di Malaysia, meliputi keseluruhan rantaian bekalan daripada pembuatan kereta, pengedaran, runcit dan perkhidmatan selepas jualan bagi pembekal, pengedar dan pelanggan di Malaysia.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Hamirullah Boorhan berkata perjanjian itu akan memanfaatkan pengedar Honda yang dapat mengakses semua produk dan perkhidmatan perbankan Maybank dengan mudah, baik secara fizikal, elektronik mahupun mudah alih.

"Memandangkan semua keperluan perbankan dan kewangan mereka dijaga oleh Maybank, kami pasti pengedar terbabit dapat memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan dan jualan, sekali gus mempertingkat kecekapan dan keuntungan keseluruhan," katanya.

Perjanjian juga meliputi usaha bersama untuk mengembangkan perluasan perniagaan serta mempertingkat kecekapan operasi untuk pelanggan Honda dan jaringannya menerusi serahan penyelesaian perniagaan lebih cepat.

Beliau berkata Maybank mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam francais pembiayaan automotifnya selama ini dengan kadar pertumbuhan 10.3 peratus, lebih sekali ganda daripada pertumbuhan industri yang merekodkan 4.4 peratus tahun lepas.

Ini dicapai dengan mengekalkan aset kualiti terbaik dengan nisbah pinjaman terjejas paling rendah dalam industri, katanya.

Maybank, Honda Malaysia

Artikel Lain