suria

InvestPerak, Mida Usaha Dapatkan Pelabur Di Tanjung Malim

IPOH: Kerajaan negeri melalui InvestPerak dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) sentiasa berusaha mendapatkan pelabur berpotensi khususnya dari sektor pembuatan untuk melabur di kawasan Tanjung Malim.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, beberapa syarikat telah dibawa melawat dan melakukan kajian kebolehlaksanaan di dua kawasan perindustrian utama iaitu Proton City dan Kawasan Perindustrian Behrang 2020.

"Antaranya, syarikat dari negara Jepun yang membuat pelaburan sebanyak RM800 juta untuk melakukan kajian terhadap produk getah pada tahun 2011," katanya ketika menjawab soalan lisan A.Sivanesan (DAP-Sungkai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Isnin.

Beliau berkata, Tanjung Malim secara amnya berada di lokasi strategik berhampiran dengan hab industri serta pasaran utama di Lembah Klang.

"Namun, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi untuk membawa masuk pelaburan di kawasan Tanjung Malim antaranya kekurangan tanah perindustrian dengan infrastruktur lengkap dan boleh dijual kepada pelabur berpotensi.

"Situasi ini menyukarkan agensi seperti InvestPerak dan Mida untuk mencadangkan Kawasan Perindustrian Proton City dan Kawasan Perindustrian Behrang 2020 kepada pelabur berpotensi memandangkan kebanyakan lot-lot perindustrian telahpun dijual tetapi belum dibangunkan pembeli," katanya.

Selain itu, Mohamad Zahir berkata dasar Proton City Development Corporation Sdn Bhd (PCDC) yang hanya membenarkan vendor Proton serta industri berkaitan automotif sahaja untuk membeli lot perindustrian di kawasan perindustrian tersebut turut menyukarkan untuk menarik masuk pelaburan bidang lain.

"Malah di Tanjung Malim pada ketika ini kekurangan infrastruktur sokongan industri seperti paip bekalan gas asli yang akan mempengaruhi minat pengilang-pengilang khususnya bagi industri seperti pembuatan makanan, produk getah dan produk buatan logam," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata bagi mengatasi cabaran tersebut, InvestPerak sedang bekerjasama dengan Majlis Daerah Tanjung Malim dalam mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan kawasan perindustrian baharu di negeri Perak  untuk dibangunkan oleh pemaju berpotensi.-- Bernama

InvestPerak, Mida, Tanjung Malim

Artikel Lain