suria

GST: Jakel Yakin Catat Peningkatan Jualan Sehingga 15 Peratus

KUALA LUMPUR: Meskipun pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), peruncit tekstil terbesar Malaysia, Kumpulan Jakel kekal yakin mampu mencatat peningkatan jualan sehingga 15 peratus tahun ini.

Pengarah Urusan dan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, syarikat melihat dari perspektif jangka panjang kerana GST menurunkan harga dan dapat meningkatkan jumlah pembelian.

Pada 2014, Jakel telah mencatat jualan melebihi RM700 juta.

"Pelaksanaan GST ini telah menjadikan kebanyakan pembeli risau kerana khuatir peniaga akan menaikkan harga. Tetapi bagi Jakel sendiri, biarlah untungnya sedikit, tetapi jualannya banyak," katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Maslan ke Jakel Mall di sini, Sabtu.

Beliau berkata tidak menjadi masalah untuk menyerap GST kerana cukai import yang dibayar sebelum GST sebanyak 10 peratus. Apabila GST dilaksanakan, cukai import tersebut diganti dengan GST sebanyak enam peratus.

"Jadi tidak menjadi masalah kepada peniaga seperti Jakel untuk menurunkan harga selepas pelaksanaan GST, dan memberi pulangan yang lebih lumayan kepada pembeli.

"Pembekal Jakel dari luar negara juga telah bersetuju untuk mengurangkan harga sebanyak dua hingga tiga peratus," katanya, sambil menambah bahawa gedung tekstil tersebut sudah mempunyai 21 cawangan di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, Jakel kini merancang untuk membangunkan dua buah lagi pusat membeli-belah, di Shah Alam dan Kuala Lumpur.

"Jakel Mall di Shah Alam akan dibina di Seksyen Tujuh dan kita akan memberi peluang kepada peniaga-peniaga Bumiputera yang sukar mendapat tapak sewaan di tempat-tempat lain untuk menyewa di mall itu.

"Pembinaan mall (pusat membeli-belah) tersebut dijangka dimulakan pembinaannya seawal-awal tahun hadapan kerana kami baru selesai menandatangani perjanjian dengan Lulu Hypermarket dari Abu Dhabi," katanya. --Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain