suria

TG Agrosolutions Perluas Operasi Bekal Anak Benih

KUALA LUMPUR: TG Agrosolutions Ltd, syarikat Malaysia yang disenaraikan di National Stock Exchange (NSX) Australia, merancang untuk mengembangkan operasi pembekalan anak benih ke Semenanjung Malaysia dengan membuka dua tapak semaian baharu.

Kumpulan itu, yang pakar dalam penyemaian dan pembekalan anak benih getah dan kelapa sawit berkualiti tinggi, pada masa ini beroperasi melalui anak syarikatnya, TG Agro Seedlings Sdn Bhd, yang berpangkalan di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yap Foot Loy berkata, kumpulan itu berhasrat memperoleh sekurang-kurangnya dua bidang tanah seluas 20.23 hektar bagi kedua-dua tapak semaian itu.

"Kami masih berunding berhubung tanah berkenaan yang mungkin dipajak atau dibeli di lokasi berkemungkinan di Selangor dan Pahang," kata Yap dalam temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata, di Sarawak, kumpulan itu memiliki kira-kira 68.80 hektar tanah, dengan 52.61 hektar digunakan untuk benih getah dan selebihnya diperuntukkan untuk sawit.

"Lebih banyak tanah telah diperuntukkan untuk getah kerana terdapat permintaan yang tinggi daripada kontrak berkaitan kerajaan seperti Risda dan Jabatan Pertanian Sarawak. Bagi 2015, keperluan diunjurkan kira-kira 4 - 5 juta pokok.

"Memandangkan segmen getah telah stabil, kami mahu memberi lebih tumpuan kepada segmen sawit dan menanam sehingga 100,000 pokok sebulan berikutan permintaan berdasarkan kadar pembukaan tanah di Malaysia," kata Foot Loy.

Beliau berkata, berikutan kejayaan penyenaraian kumpulan itu di NSX pada 16 Februari 2015, syarikat bersedia untuk perkembangan bukan sahaja dalam segmen penanaman anak benih dan bekalan tetapi juga dalam logistik, penanaman, penanaman semula dan pembangunan aset perladangan.

Foot Loy berkata, operasi logistiknya akan diperluaskan daripada penggunaan dalaman untuk menyediakan lebih banyak sokongan untuk pelanggan seperti penghantaran dan pergudangan bagi baja dan bahan-bahan mentah seiring dengan peningkatan bekalan.

Mengenai penyenaraian, beliau berkata ia mematuhi penyenaraian di mana syarikat memenuhi semua keperluan penyenaraian dan tiada dana ditambah.

"NSX, yang memenuhi keperluan syarikat-syarikat kecil dan sederhana, menawarkan tiga laluan penyenaraian utama iaitu pematuhan, memorandum maklumat dan prospektus.

"Kami tidak mempunyai pinjaman bank dan semua aktiviti perniagaan telah dibiayai secara dalaman. Bagaimanapun dengan pelbagai rancangan yang bakal dilaksanakan dan untuk menyokong pertumbuhan masa depan kumpulan, ia memerlukan modal kerja yang lebih besar dan NSX boleh menjadi platform antarabangsa untuk mengumpul dana," katanya.

Mengenai penampilan pertama penyenaraiannya, nilai pasaran kumpulan itu ialah sebanyak RM245 juta. -- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain