suria

Paras Hutang PFI Terkawal

KUALA LUMPUR: Paras hutang Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) terkawal kerana semua projek berdaya maju dalam jangka panjang, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata paras hutang Malaysia masih di bawah 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dan adalah tidak benar beberapa PFI mungkin perlu diselamatkan.

"Semua projek berdaya maju dan boleh bertahan dengan sendiri. Mereka telah dinilai dari segi teknikal dan kewangan, di samping berkembang pantas dan dalam program pembiayaan kerajaan," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa PFI tidak mempunyai pendapatan operasi untuk membayar hutang itu, Mohd Irwan berkata beberapa projek infrastruktur telah dibiayai melalui perbelanjaan pembangunan atau pinjaman dan operasi, melalui hasil.

"Mungkin terdapat tempoh matang yang panjang. Tetapi, dalam jangka panjang, ia berdaya maju dan bermanfaat kepada negara dan rakyat.

"Saya tidak nampak sebarang masalah dari segi pembiayaan semula dan kedudukan ekonomi negara yang benar-benar kukuh dan pada landasan yang tepat," katanya.

Irwan berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran persidangan mengenai trend baru muncul bagi pengkomputeran, perniagaan dan pendidikan FTMS Global College's Ascent 2015 di sini, Khamis.

Acara tersebut mengumpulkan lebih 300 peserta antarabangsa untuk menggalakkan inovasi ke arah menjadi usahawan kreatif.

Mohd Irwan berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia telah memulakan beberapa mesyuarat dengan yang akan datang bagi Menteri-Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat mulai 19 hingga 21 Mac.

"Antara isu-isu kewangan yang akan dibincangkan ialah pemudahan perdagangan dan integrasi kewangan dalam kalangan negara-negara ASEAN, serta memudahkan perusahaan kecil dan sederhana dari segi kewangan untuk terus diliberalisasikan.

Sempena mesyuarat itu, Malaysia juga akan menganjurkan Sidang Kemuncak Keusahawanan ASEAN, dengan menemukan usahawan dari negara-negara anggota untuk berkongsi idea dan pembangunan sektor.

PFI, Hutang

Artikel Lain