suria

AirAsia Luaskan Rangkaian Ke India, Indonesia Dengan Tiga Laluan Baharu

KUALA LUMPUR: AirAsia pada Selasa mengumumkan tiga laluan baharu iaitu ke Visakhapatnam di India serta Pontianak dan Medan di Indonesia.

Dalam satu kenyataan di sini, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, penerbangan terus tiga kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Visakhapatnam akan bermula pada 7 Mei depan.

Penerbangan Kuala LumpurPontianak dan Johor Bahru-Medan akan bermula pada  27 Mac dengan dua penerbangan seminggu.


Ketua Komersil AirAsia Bhd, Spencer Lee berkata, Visakhapatnam adalah destinasi yang sedang berkembang maju dengan aktiviti perdagangan dan pelancongan.

Menurutnya, ini adalah masa yang sesuai untuk syarikat penerbangan itu menembusi pasaran berkenaan.

"Kami juga akan menjadi syarikat penerbangan pertama yang akan terbang terus ke Pontianak dari Kuala Lumpur.

"Sebagai syarikat penerbangan Asean, kami berasa bangga untuk mengumumkan pelancaran semula penerbangan terus Johor Baharu-Medan," tambahnya.


AirAsia juga menawarkan tambang promosi sehala RM99 bagi laluan Kuala Lumpur-Visakhapatnam untuk tempahan dalam talian mulai 10 Mac hingga 22 Mac untuk perjalanan 7 Mei 2015 hingga 26 Mac 2016.


Tambang promosi juga ditawarkan untuk penerbangan Kuala Lumpur-Pontianak dari RM99 sehala dan RM79 sehala untuk Johor Baharu-Medan.


Kedua-dua laluan itu juga boleh ditempah dalam talian mulai 10 Mac hingga 22 Mac untuk perjalanan 27 Mac 2015 hingga 26 Mac 2016.

Artikel Lain