suria

Tiga Syarikat Labur RM600 Juta Di Medini

NUSAJAYA: Tiga syarikat komited untuk membuat pelaburan bernilai kira-kira RM600 juta bagi membuka operasi perniagaan di Medini, Iskandar Malaysia, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan i2M Ventures Sdn Bhd Zulfiqar Zainuddin, semasa mengumumkan keputusan itu berkata pelaburan oleh syarikat-syarikat tersebut, Brandt International Sdn Bhd, Vision Technology Consulting Sdn Bhd dan Goldbury Communications Sdn Bhd akan mewujudkan sehingga 1,100 peluang pekerjaan.

Bercakap kepada pemberita selepas pembukaan International Outsourcing Forum Locations Asia di sini, pada Khamis, beliau berkata peluang pekerjaan itu akan tersedia dalam penyumberan luar teknologi maklumat, penyumberan luar proses perniagaan (BPO), pengurusan pelanggan dan perkhidmatan perundingan.

"Selain daripada ini, terdapat lebih banyak (pelaburan baharu) yang sedang dalam perancangan. Setakat ini, enam syarikat telah mengemukakan komitmen mereka untuk menyediakan sehingga 3,000 pekerjaan di Medini," kata Zulfiqar.

Beliau berharap pelaburan baharu ini akan mempercepatkan pembangunan ekosistem bagi mewujudkan destinasi perkhidmatan perniagaan bertaraf dunia.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Datuk Ismail Ibrahim.

Syarikat tempatan Goldbury menubuhkan hab automotif teknologi maklumat (IT) global di Medini dan akan menumpukan kepada pelaksanaan dan sokongan penyelesaian SAP yang dibangunkan oleh syarikat perisian, SAP SE, dalam kalangan pemain industri automotif.

Bagi Brandt International, ia akan menubuhkan BPO dan Penyumberan Proses Pengetahuan (KPO) yang akan menawarkan perkhidmatan diurus proses perniagaan bernilai tinggi terutamanya dalam bahagian perkhidmatan digital dan kreatif baharu, pengurusan sumber dan IT, antara lainnya.

Sementara itu, Vision Technology Consulting, akan membangunkan pusat pembangunan yang menyediakan pelaksanaan teknologi Oracle, perkhidmatan penyumberan luar berkaitan Oracle dan penyelesaian mobiliti enterpris.

i2M Ventures, merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, yang dipertanggungjawabkan membangunkan inisiatif penggalakan pelaburan strategik bagi perkhidmatan perniagaan/perniagaan perkongsian dan penyumberan luar (SSO) di Iskandar Malaysia.

Sementara itu, Azman dalam ucapannya berkata, industri SSO mencatatkan momentum yang pesat serta rekod prestasi yang baik.

"Sehingga Disember 2014, industri menarik lebih 340 syarikat asing dan multinasional untuk menubuhkan pusat SSO serantau dan global di Malaysia, yang menggaji 82,000 pekerja dan menyumbang 16 peratus kepada keluaran dalam negara kasar," katanya.

Medini

Artikel Lain