suria

Malaysia Masih Berpotensi Untuk Tarik Pelaburan Asing - MICCI

KUALA LUMPUR: Malaysia masih memiliki potensi yang baik bagi menarik pelaburan asing di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global sekarang ini, kata Presiden Dewan Perundangan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Simon Whitelaw.

Katanya, masih terdapat banyak peluang perniagaan yang belum diterokai, selain daripada peluang pertumbuhan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam negara ini.

"Mereka yang terlibat dalam perniagaan tidak perlu khuatir, sebaliknya, berusaha untuk lebih produktif dan cekap untuk menampan kesan kemelesetan ekonomi semasa," katanya.

Whitelaw menambah, terdapat juga keperluan untuk PKS terus terlibat, sebagai contoh, dalam membangunkan eksport.

Pada masa sekarang, kumpulan ini menyumbang kurang daripada 70 peratus eksport negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran rasmi Anugerah Etika Korporat Kebangsaan (NCEA) 2015 di sini, Rabu.

Dari segi kos, walaupun China dan India dilihat lebih berdaya saing, Malaysia masih lagi menjadi pilihan syarikat asing untuk mendirikan perniagaan.

"Jadi, janganlah terlalu negatif," kata Whitelaw.

NCEA 2015 merupakan inisiatif yang diterajui oleh sektor swasta yang direka bagi mengenalpasti syarikat-syarikat yang boleh menjadi contoh kepada yang lain, yang juga mampu meransang peranan anti-rasuah dan etika dalam sektor berkenaan.

Ia juga bertujuan menunjukkan komitmen Malaysia sebagai peneraju dalam perniagaan yang beretika.

Ini merupakan kali pertama anugerah tersebut dianjurkan dan pemenang sulungnya akan diumumkan dalam September.

Sebanyak lebih kurang 60 syarikat dijangka akan menyertai pusingan pertama anugerah tersebut.

Peserta dibahagikan kepada kumpulan syarikat yang besar dan juga kategori PKS.

Maklumat mengenai anugerah itu boleh diperolehi daripada laman sesawang MICCI, sementara menunggu penyiapan laman web khusus untuk acara itu.

MICCI, Simon Whitelaw, PKS

Artikel Lain