suria

KSB Meterai Perjanjian Dengan Tujuh Syarikat Berkaitan Industri Minyak

KUALA TERENGGANU: Pangkalan Perbekalan Kemaman (KSB) yang dimiliki anak syarikat kerajaan Terengganu, Eastern Pasific Industries Corporation Bhd (Epic), memeterai perjanjian dengan tujuh syarikat industri minyak dan gas bagi penyewaan premis.

Syarikat terbabit ialah Petronas Carigali Sdn Bhd, Exxonmobil Exploration and Productions Malaysia Inc, Talisman Malaysia Limited, Hess Exploration and Production, Lundin Malaysia BV, Petrofac (Malaysia) Limited dan Petrofac Energy Development Sdn Bhd.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, perjanjian itu dijangka membawa lambakan peluang ekonomi termasuk pekerjaan kepada anak-anak tempatan memandangkan tujuh syarikat terbabit akan melaksanakan pelbagai perniagaan di situ.

Perjanjian ini juga menunjukkan keyakinan syarikat industri minyak dan gas terhadap kemudahan yang disediakan oleh KSB sebagai pangkalan yang menyokong industri petroleum, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian terbabit di sini.

KSB diwakili Pengerusinya Datuk Tengku Putera Tengku Awang. Hadir sama Pengerusi Epic Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut.

Menurut Ahmad Razif pada masa ini terdapat 260 syarikat beroperasi di KSB dan menawarkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan.

Beliau juga berkata kerajaan negeri bercadang memperkukuh KSB sebagai sebuah pangkalan terunggul di Semenanjung Malaysia dan memperuntukkan tanah seluas 280 hektar untuk tujuan pengembangan.

Tanah ini akan dimanfaat untuk menambah kemudahan pelabuhan, gudang dan tempat simpanan peralatan industri, katanya.

Beliau berkata, turut dirancang ialah pembangunan pelbagai kemudahan termasuk kediaman dan pusat beli-belah bagi menampung keperluan kakitangan syarikat yang beroperasi di KSB.


Artikel Sebelum

Artikel Lain