suria

Mercedes-Benz Akan Terus Melabur Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd akan terus melabur di Malaysia biarpun berdepan ketidaktentuan ekonomi global akibat penurunan harga minyak serta kelemahan ringgit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roland Folger, turut menyifatkan Malaysia sebagai penyedia peluang perniagaan yang baik bagi pengeluar kereta segmen premium berkenaan.

Namun, katanya, pelaburan masa depan syarikat itu akan bergantung kepada sokongan kerajaan terhadap pelan perniagaannya yang menyeluruh di negara ini.

"Malaysia adalah negara yang kami sememangnya merancang untuk menambah pelaburan. Berdasarkan perhubungan kami dengan kerajaan, syarikat ini telah menerima sokongan untuk terus mewajarkan pelaburan masa depan di sini," katanya kepada wartawan di luar majlis penyerahan kunci NZ Wheels, di sini, Jumaat.

NZ Wheels Sdn Bhd yang juga pengedar rasmi kereta mewah berkenaan, hari ini melengkapkan penjualan lima kereta hibrid Mercedes-Benz S400L bernilai kira-kira RM3 juta kepada syarikat penyedia perkhidmatan eksklusif limosin, Metro Travel and Tours Service Sdn Bhd.

Ditanya kesan kelemahan ringgit terhadap syarikat itu, Folger berkata jualan kenderaan mewah itu dalam pasaran tempatan kebanyakannya dipacu jenis model serta produk keluarannya.

"Dari sudut positif, penurunan ringgit itu menjadikan produk kami lebih mampu dimiliki di luar Malaysia. Ini membantu dari aspek perniagaan dan eksport yang akan mempengaruhi perniagaan kami secara keseluruhannya," katanya.

Beliau turut menegaskan syarikat itu tidak berhasrat mengurangkan pelaburannya di Malaysia.

Mercedes-Benz pada awal bulan ini berkata ia akan melabur RM280 juta sehingga 2019 dan sebahagian besarnya bagi menaik taraf kemudahan kilang pengeluaran serta memperluaskan lagi jaringan pengedarnya.

Tahun lepas, syarikat itu melabur RM15 juta dalam kilang pengeluarannya di  Pekan, Pahang, yang memasang kenderaan hibrid.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain