suria

Light Hotel Sasar Kadar Penginapan 70 Peratus

Nazri ketika menyampaikan ucapan pada majlis prapelancaran Hotel Light Seberang Jaya, Khamis.

BUTTERWORTH: The Light Hotel (M) Sdn Bhd, pemilik dan operator Light Hotel di Seberang Jaya, menyasarkan kadar penginapan 70 peratus tahun ini.

Pengurus Besar Azhar Mohammad yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan kedudukannya yang strategik di tanah besar selain menawarkan perkhidmatan kelas perniagaan primer.

"Light terletak di tengah-tengah bandar Seberang Jaya dan kami jangka dapat menarik ahli perniagaan dari kawasan sekitar seperti Batu Kawan serta ekspatriat  yang bekerja di Kulim," katanya kepada pemberita selepas prapelancaran hotel oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, di sini, Khamis.

Katanya, hotel itu dibangunkan tiga tahun lalu dengan kos RM150 juta dan  diunjur menerima pulangan pelaburan dalam tempoh 10 tahun.

Azhar berkata Light menawarkan 303 bilik, 205 suite dan satu dewan besar yang mampu menampung 1,600 orang dan akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 26 Januari ini.

Katanya, Light akan menampung keperluan kepesatan pembangunan di Pulau Pinang terutama di tanah besar termasuk peningkatan permintaan daripada sektor pelancongan perubatan.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, sebahagian daripada kos pembangunan hotel tersebut dibiayai menerusi Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan yang berperanan membantu usahawan pelancongan membangun dan memperluas projek yang menyokong pembangunan sektor pelancongan.

"Infrastruktur seperti jambatan dan lebuh raya yang mempermudah akses ke tanah besar akan menarik lebih ramai pelancong dan hotel baharu seperti Light akan menampung keperluan penginapan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain