suria

Petronas Masih Jalankan Penilaian Terhadap SSGP

KUALA LUMPUR: Petronas, kini menjalankan penilaian menyeluruh terhadap projeknya, Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP).

Penilaian berkenaan yang merangkumi ujian dan penilaian ke atas bahagian dalam dan luar saluran paip, boleh mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan kerana ia memerlukan kajian mendalam dan ujian sistematik bagi memastikan integriti saluran paip.

Penilaian itu merupakan sebahagian daripada komitmen Petronas terhadap  keselamatan SSGP, dan juga, masyarakat yang menetap di kawasan saluran paip itu, demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, Isnin.

Kumpulan itu berkata, ia hanya akan memulakan operasi SSGP sebaik sahaja penilaian siap dan semua kriteria keselamatan dipenuhi.

Di samping itu, Petronas telah berbincang dengan masyarakat melalui sesi taklimat berterusan untuk memaklumkan mereka mengenai kemajuan usaha yang dijalankan.

Proses penilaian telah dijalankan disebabkan oleh kejadian kebakaran pada 10 Jun, 2014 di SSGP di daerah Lawas, Sarawak, 135 kilometer dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, Sabah.

Satu siasatan menyeluruh telah dijalankan oleh pelbagai agensi berikutan kejadian itu termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan serta DNV GL,  peneraju bebas dalam Jaminan Kualiti, bagi menentukan punca kejadian.

Petronas mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ketat selaras dengan  piawaian antarabangsa pada setiap masa, dan akan terus berbuat demikian di mana-mana ia beroperasi, katanya.

Petronas, SSGP, Lawas

Artikel Sebelum

Artikel Lain