suria

Volvo Malaysia Buka Syarikat Pengedar Di Sibu

SIBU: Volvo Trucks Malaysia, merealisasikan kepentingan Sibu bagi jualan syarikat di Sarawak, telah membuka sebuah syarikat pengedar yang diubahsuai dan dipertingkatkan di sini untuk menawarkan penyelesaian pengangkutan yang menyeluruh kepada pelanggan semasa dan berpotensi di Malaysia Timur.

Menyifatkan pembukaan syarikat pengedar itu sebagai pencapaian penting bagi jenama tersebut, Pengarah Urusan Mats Nilsson berkata Sibu ketika ini merupakan penyumbang perolehan kedua tertinggi kepada Volvo Trucks selepas wilayah tengah Semenanjung Malaysia dari segi jualan komponen.

Volvo Malaysia mencapai prestasi cemerlang pada tahun lepas apabila ia menjual 424 trak, meningkat 29 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

"Pembukaan syarikat pengedar di Sibu merupakan sebahagian daripada pelaburan berjumlah RM75 juta untuk menaik taraf syarikat-syarikat pengedar kami di seluruh Malaysia," katanya pada perasmian premis tersebut di sini, Jumaat.

Pelaburan merangkumi kemudahan baharu yang dibuka di Kuantan, Ipoh dan pelancaran akan datang di Prai, Pelabuhan Klang dan Sandakan, serta pengubahsuaian baru-baru ini di Kuching.

Nilsson berkata pelaburan tersebut mencerminkan komitmen Volvo dalam strategi pembangunan rangkaian yang sejajar dengan hala tuju korporatnya untuk meningkatkan kepuasan pelanggan dan mengukuhkan hubungan melalui kecekapan yang lebih tinggi.

"Sebagai peneraju dalam segmen kenderaan komersil jenis besar di Malaysia, kami perlu sentiasa meningkatkan penawaran perkhidmatan kami bukan hanya untuk memenuhi tetapi melangkaui jangkaan pelanggan kami bagi sokongan selepas jualan," kata Nilsson.

Mengenai premis baharu, beliau berkata bangunan tersebut, dengan keluasan kawasan lebih 1,500 kaki persegi, merupakan penaiktarafan yang ketara dari segi ruang dan kemudahan berbanding lot kedai sebelum ini.

Volvo, Sibu, Mats Nilsson

Artikel Lain