suria

Majunaka Labur RM106 Juta Bina Janakuasa Berasaskan Sekam Padi

Syed Sobri

ALOR SETAR: Menerusi pelaburan bernilai RM106 juta, Majunaka Eco Energy Sdn Bhd akan membina stesen janakuasa tenaga diperbaharui menggunakan sekam padi dan ranting kayu yang pertama di Malaysia.

Apabila pembinaannya siap pada tahun depan, stesen janakuasa tenaga diperbaharui yang terletak di Naka, Padang Terap itu, akan menjana 9.95 Megawatt (MW) kuasa elektrik.

Pengerusi syarikat Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata, lebih daripada 7 MW tenaga elektrik yang dijananya akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala selebihnya akan digunakan oleh stesen sendiri.

"Syarikat telah mendapat kelulusan daripada agensi dan pihak yang berkenaan termasuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTha), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) serta Suruhanjaya Tenaga.

"Ia akan menjadi stesen janakuasa tenaga diperbaharui yang pertama di Malaysia yang bahan-bahan bakarnya adalah daripada sekam padi dan ranting-ranting kayu," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.

Menurut beliau, majlis pecah tanah pembinaan stesen janakuasa tenaga diperbaharui itu akan diadakan pada 24 Januari ini.

Syed Sobri berkata, stesen janakuasa tenaga diperbaharui itu dijangka menggunakan kira-kira 300 tan sekam padi dan ranting kayu sehari bagi menjana kuasa elektrik yang diperlukan.

"Dalam tempoh sebulan, stesen janakuasa kami akan menggunakan kira-kira 9,000 tan sekam padi dan ranting kayu. Kami mempunyai kontrak dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk membawa keluar sekam padi dari kompleksnya di Kedah," katanya.

Pengilang-pengilang padi di Kedah katanya, mempunyai masalah untuk melupuskan sekam padi dan berikutan itu syarikatnya mengemukakan cadangan untuk membina stesen janakuasa tenaga diperbaharui tersebut.

Stesen janakuasa tenaga diperbaharui menggunakan sekam padi kata beliau, telah dibina di Thailand sejak 1995.

Bagi merealisasikan cadangan membina stesen janakuasa tenaga diperbaharui menggunakan sekam padi yang pertama di Malaysia, syarikat telah diberi kemudahan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau berjumlah RM50 juta oleh KeTTHA.

Selain itu, syarikat turut menggunakan kemudahan pinjaman komersial serta pembiayaan dalaman bagi membiayai pembinaan stesen janakuasa itu, katanya.

Syed Sobri berkata syarikatnya diberi konsesi sehingga 2032 untuk menjual tenaga elektrik yang dijananya itu kepada TNB pada kadar jualan yang kompetitif.

Mengikut perjanjian, syarikat akan mula menjual tenaga elektrik yang dihasilkannya kepada TNB bermula 1 Januari 2016.

Mengenai teknologi stesen janakuasa tenaga diperbaharui itu, beliau berkata, reka bentuk keseluruhan stesen itu serta sistemnya akan direka oleh sepasukan 15 jurutera Bumiputera tempatan.

Bagaimanapun sistem turbin stesen janakuasa itu bakal menggunakan teknologi Jepun, kata Syed Sobri.

Majunaka, Padang Terap, sekam padi, TNB

Artikel Berikut

Artikel Lain