suria

IRDA Beri 76 Peratus Projek Prasarana Kepada Kontraktor Bumiputera

Ismail Ibrahim
DUBAI: Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) setakat ini telah memberikan sejumlah RM1.52 bilion atau 76 peratus daripada nilai kontrak projek prasarana di Iskandar Malaysia kepada kontraktor Bumiputera sejak 2006.


"Perbelanjaan kerajaan bagi pembangunan prasarana di Iskandar Malaysia dari 2006 hingga sekarang ialah sebanyak RM8.3 bilion, menerusi pelbagai agensi kerajaan termasuk IRDA.

"Di bawah bidang kuasa IRDA ialah projek bernilai RM2.6 bilion di mana RM2 bilion telah diberikan kepada pelbagai kontraktor dengan 76 peratus daripada nilai kontrak diberikan kepada kontraktor Bumiputera," kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim kepada media Malaysia di luar Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-10 di sini.

IRDA ialah badan kawal selia yang diberikan mandat untuk merancang, menggalak dan memudahkan pembangunan Iskandar Malaysia menjadi metropolis bertaraf antarabangsa, di mana kehidupan, pekerjaan, perniagaan dan liburan berpusat di satu tempat.

Dengan reputasi sebagai koridor ekonomi paling pantas berkembang di rantau ini, Iskandar Malaysia terus menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.

Wilayah itu memperoleh pelaburan bernilai RM10 bilion dalam suku ketiga tahun ini menjadikan jumlah nilai pelaburan terkumpul sejak ia dibuka pada 2006 hingga 30 Sept tahun ini kepada RM156.35 bilion, di mana RM77.17 bilion atau 49 peratus merupakan pelaburan yang telah dilaksanakan.

Mengenai salah tanggapan bahawa Iskandar Malaysia hanya menyasar menarik pelabur asing, Ismail berkata wilayah itu merupakan sebuah destinasi mesra perniagaan bagi pelabur tempatan dan juga antarabangsa.

Ismail menyatakan bahawa pelaburan domestik di Iskandar Malaysia berjumlah RM98.85 bilion atau 63 peratus daripada jumlah pelaburan terkumpul sehingga September 2014.

Khazanah Nasional Bhd merupakan satu daripada syarikat tempatan yang melabur dalam projek pemangkin di Iskandar Malaysia iaitu Pinewood Iskandar Malaysia Studios, LEGOLAND Malaysia dan EduCity, Medini.

Syarikat lain termasuklah Genting Chelsea Sdn Bhd dalam Johor Premium Outlets, Renaissance Hotel dalam projek hospitaliti dan Dato' Onn International Specialist Hospital dalam sektor penjagaan kesihatan.

Mengenai penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Iskandar Malaysia, Ismail berkata, Johor merupakan satu dari tiga negeri utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

"Pembangunan ini disokong oleh 341,152 PKS yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 2011, dan angka ini adalah empat kali ganda angka PKS di Johor pada 2010.

"Peningkatan drastik ini sejak 2010 menunjukkan tahap keusahawanan tinggi dalam kalangan PKS di Iskandar Malaysia," ujarnya.

Menurut Ismail, pertumbuhan pelaburan di Iskandar Malaysia juga merancakkan aktiviti ekonomi dan seterusnya meningkatkan permintaan bagi tenaga kerja dari Johor.

Dari 2007 hingga 2012, sejumlah 554,796 pekerjaan disediakan di Iskandar Malaysia, dalam sembilan sektor yang dipromosikan serta sektor hartanah, pembinaan dan runcit.

"Bagi memenuhi permintaan bagi kemahiran khusus, kami menyediakan beberapa program seperti Program Pembangunan Tenaga Kerja Kreatif Iskandar Malaysia, Program Menamatkan Persekolahan bagi Sektor Hospitaliti dan Pelancongan, dan Minyak dan Gas, Program Peningkatan Tenaga Kerja Nasional (NTEP), Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (KEPAK) dan Program Capaian Tenaga Kerja," katanya.

Ismail berkata, pada 2013, sejumlah 98,440 peluang pekerjaan disediakan di Iskandar Malaysia, terdiri daripada 15 peratus pekerjaan mahir, 20 peratus separa mahir dan 65 peratus pekerjaan kurang mahir/tidak mahir.

Sektor elektrik dan elektronik menyumbang 46 peratus daripada pekerjaan yang disediakan (bagi pengendali pengeluaran) diikuti Pembinaan (27.9 peratus), Makanan & Pertanian (12.6 peratus) dan Hospitaliti & Pelancongan (8.3 peratus).

"Tahun lepas, sebanyak 11,180 peluang pekerjaan telah diisi," katanya. 


IRDA, Dubai, Iskandar Malaysia

Artikel Sebelum

Najib Lancar Zilzar.com

Artikel Berikut

Artikel Lain