suria

Hutang Negara Susut 1.9 Peratus

KUALA LUMPUR: Jumlah hutang negara pada akhir Jun tahun ini adalah sebanyak RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia berkurangan sebanyak 1.9 peratus berbanding 2013 yang menyaksikan Malaysia menanggung hutang sebanyak RM547.6 peratus atau 54.7 peratus pada tahun berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, daripada jumlah berkenaan, 97.1 peratus atau RM552.7 bilion adalah hutang domestik sementara bakinya RM16.2 bilion atau 2.9 peratus merupakan pinjaman luar persisir.

"Kedudukan hutang kerajaan ini kekal terurus di bawah 55 peratus daripada KDNK dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.

Najib yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang bertanya mengenai jumlah hutang terkini Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu Najib berkata, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada 2010 adalah sebanyak RM407.1 bilion atau 51.1 peratus daripada KDNK dan pada 2011 hutang negara mencatat jumlah sebanyak RM456.1 bilion atau 51.5 peratus.

Manakala pada 2012, Malaysia berhutang sebanyak RM501.6 bilion atau 53.3 peratus daripada KDNK.

Menurut Najib lagi, sehingga kini kerajaan membayar balik semua hutang dan bayaran khidmat hutang dengan teratur serta mengikut jadual.

Tambah beliau, pinjaman yang dilakukan Kerajaan Persekutuan hanya bagi membiayai perbelanjaan pembangunan setelah mengambil kira kemampuan membayar balik.

"Bayaran khidmat hutang  yang merujuk kepada bayaran faedah ke atas pinjaman merupakan bayaran tanggungan mandatori yang perlu diberi keutamaan dan dikategori di bawah peruntukan tanggungan T13.

"Bayaran khidmat hutang dijangka kekal terurus pada 10.3 peratus daripada hasil iaitu masih jauh di bawah paras 15 peratus yang ditetapkan dalam peraturan pengurusan fiskal," katanya.


KDNK, Kewangan, Hutang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain