suria

Brahim's Bantu Selamatkan MAS 11 Tahun Lepas

Pengerusi Eksekutif Brahim's, Datuk Ibrahim Ahmad Badawi.

KUALA LUMPUR: Pembekal makanan dalam penerbangan, Brahim's Holdings Bhd, memain peranan kecil namun penting, dalam usaha menyelamatkan kedudukan kewangan Malaysia Airlines 11 tahun lepas.

Pada masa itu, Brahim's yang kini mengendalikan penerbangan dapur halal terbesar di dunia, mencuri perhatian apabila mendapat tawaran katering 25 tahun daripada syarikat penerbangan negara itu.

Ada yang mendakwa perjanjian bernilai RM6.25 bilion itu berat sebelah, namun mereka mungkin terlupa kos yang perlu ditanggung oleh Brahim's.

Brahim's terpaksa memperoleh pinjaman bank untuk menyediakan RM170 juta dalam bentuk tunai untuk membeli 70 peratus kepentingan ekuiti dalam MAS Catering Sdn Bhd.

Pada masa itu, MAS Catering mencatat kerugian terkumpul sebanyak RM240 juta, dana pemegang saham yang negatif dan menanggung kerugian RM40 juta setahun untuk operasinya.

Brahim's juga terpaksa mewarisi semua 'lejar tidak seimbang' itu.

"Konsesi 25 tahun diperlukan bagi memastikan pembeli mempunyai masa yang cukup untuk mendapatkan kembali pelaburannya, tidak seperti projek lain yang diselamatkan," kata Pengerusi Eksekutif Brahim's, Datuk Ibrahim Ahmad Badawi.

"Menerusi penjualan itu, jelas pembeli memerlukan sedikit jaminan kesinambungan perniagaannya.

"Ia tidak boleh dibandingkan dengan kontrak lain dalam MAS yang secara umumnya akan diperbaharui dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas tamat kontrak," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Hasil kerja keras selama 10 tahun, akhirnya menyaksikan kerugian terkumpul MAS Catering sebanyak RM240 juta, berjaya diselesaikan dan mencatat keuntungan operasi dua tahun lepas.

"Kami mengurangkan pembaziran, pekerja dikurangkan sebanyak satu pertiga kepada kurang daripada 1,200, menambah 12 pelanggan baharu dan menambah pengeluaran hampir dua kali ganda," kata Ibrahim.

Yang lebih penting, kecekapan meningkat menerusi pelaburan tambahan sebanyak RM57 juta bagi membeli mesin dan peralatan serta sistem kawalan.

Hasilnya, syarikat mencatat keuntungan operasi pada tahun kedua dan menyelesaikan sepenuhnya kerugian terkumpul, katanya.

Selain itu, Ibrahim berkata syarikat itu berjaya membayar sejumlah RM121 juta dividen dan rebat kepada pemegang saham sehingga kini.

Ibrahim berkata Malaysia Airlines terus mengekalkan 30 peratus kepentingan ekuiti dalam MAS Catering yang kini dikenali sebagai Brahim's Airline Catering Sdn Bhd (BAC).

"Malaysia Airlines mengambil bahagian secara aktif dalam keputusan Jawatankuasa Audit Lembaga Pengarah terhadap BAC. Oleh itu keputusan memilih BAC itu tidak boleh dianggap sebagai berat sebelah," katanya.

Keuntungan konsesi 25 tahun seperti didakwa oleh banyak pihak juga tidak tepat, katanya.

Margin bersih kami daripada perniagaan ini hanya antara sembilan hingga 12 peratus setahun, dan pada amnya dalam sektor perkhidmatan makanan, margin yang lebih tinggi bukan sesuatu yang luar biasa walaupun sehingga 20 peratus," katanya.

Setiap tahun, Ibrahim berkata bil tahunan BAC kepada MAS kira-kira RM260 juta yang merupakan kurang daripada dua peratus kos operasi tahunan Malaysia Airlines.

Pada 8 Ogos, 2014, Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham majoriti Malaysia Airlines dengan 69.37 peratus pegangan, mengumumkan ia akan menjadikan MAS syarikat persendirian, dengan langkah pengurusan kos sebagai antara tumpuan utama Khazanah.

Ada pihak mendakwa kontrak jangka panjang Brahim's perlu 'dikurangkan' memandangkan prestasinya baik walaupun Malaysia Airlines mencatat kerugian.

"Jika menggunakan pertimbangan yang sama, pembekal lain Malaysia Airlines juga membuat keuntungan sedangkan syarikat penerbangan itu rugi, yang sebahagiannya disebabkan mereka, dengan bil yang lebih tinggi," kata Ibrahim.

Ditanya sama ada pengurusan MAS sudah membincangkan kontrak Brahim's, beliau berkata: "Ada tetapi tidak konklusif."

Ibrahim berkata Brahim's merupakan sebuah syarikat yang dinamik yang akan menyesuaikan dirinya dengan perkembangan berkaitan dengan kontrak jangka panjang dengan MAS.

Untuk mengurangkan pergantungan kepada Malaysia Airlines, Brahim's mengikat menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan asing yang lain, dan kini memenuhi keperluan makanan dalam penerbangan kepada lebih 30 syarikat penerbangan.

Brahim's dilaporkan menandatangani perjanjian dengan enam syarikat penerbangan baharu tahun lepas dan menyasarkan tiga lagi syarikat penerbangan asing selepas menjalin pakatan dengan Lufthansa awal tahun ini.

Ia kini memberi perkhidmatan kepada 35 pelanggan dan syarikat penerbangan antarabangsa, termasuk AirAsia, AirAsia X, Cathay Pacific, China Airlines, Japan Airlines, Korean Air, Thai Airways, Emirates Airliness, Garuda, Indian Airlines, Eva Air dan Pakistan International Airlines.

Ia memenuhi keperluan purata 190 pesawat setiap hari dan menyediakan kira-kira 50,000 hidangan sehari dari dapur halal penerbangan yang besar dan canggih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Penganalisis menjangkakan pendapatan Brahim's akan menerima impak jika Malaysia Airlines memutuskan untuk merasionalisasikan laluannya.

Brahim's menyumber sehingga 75 peratus daripada jualan daripada hidangan dalam penerbangan Malaysia Airlines dan selebihnya daripada bukan pelanggan MAS.

Ibrahim berkata pendapatan Brahim's daripada pelanggan bukan MAS berjumlah antara RM80 juta dan RM100 juta.
MAS, Brahim's

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain