suria

Sektor Perkhidmatan Diharap Menyumbang Lebih Baik Kepada Ekonomi Negara

Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan Malaysia terus berkembang dan berharap ia dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih baik, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.


Katanya, kerajaan secara umumnya turut memberi bantuan kepada usahawan yang ingin memulakan perniagaan terutamanya daripada sektor perkhidmatan dengan menyediakan pelbagai skim pinjaman perniagaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas angka pertumbuhan baharu yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia pada Jumaat lepas, menunjukkan sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang berkembang 6.4 peratus pada suku kedua tahun ini.

Ahmad berkata, pertumbuhan ekonomi negara mengatasi kebanyakan negara di rantau Asean termasuk Singapura yang hanya meningkat sebanyak 2.1 peratus; Indonesia (5.1 peratus); Vietnam (5.3 peratus) dan Korea Selatan (3.6 peratus).

"Kita turut mengatasi Amerika Syarikat yang hanya meningkat 2.4 peratus; United Kingdom (3.1 peratus) dan Rusia (1.2 peratus). Hanya China mengatasi Malaysia dengan pertumbuhan 7.5 peratus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan H Pro Motorsport Sdn Bhd di sini, Ahad.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 6.4 peratus bagi suku kedua tahun ini, naik 0.2 peratus berbanding suku pertama.

Sektor pembinaan menjadi penyumbang tertinggi dengan pertumbuhan sebanyak 9.9 peratus diikuti sektor pembuatan (7.3 peratus), pertanian (7.1 peratus), perbelanjaan (6.5 peratus), dan petroleum dan perlombongan (2.1 peratus).

Ahmad berkata, peningkatan itu merupakan hasil daripada pengurusan ekonomi yang baik oleh pemimpin negara dalam persekitaran global yang tidak menentu selain didorong oleh politik negara yang stabil.

"Pertumbuhan ini bukan hanya tertumpu kepada pengurusan belanjawan negara, malah turut melibatkan pengurusan sektor ekonomi makro dan mikro, import eksport, dasar fiskal dan dasar monetari serta pelaburan dalam dan luar negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi H Pro Motorsport, Edward Chong berkata, H Pro merupakan peneraju teknologi pencucian dan penyelenggaraan kenderaan dengan konsep mesra alam yang menggunakan kombinasi wap dan penggilap.

Katanya, mereka menjangkakan jualan sebanyak RM18 juta bagi tahun pertama selain menyediakan peluang perniagaan kepada orang ramai yang ingin membuka francais H Pro.


Artikel Sebelum

Artikel Lain