suria

SME Corp Kunjungi Keluarga Arwah Nurliana Mazlan

KUALA TERENGGANU: Kesedihan keluarga arwah Nurliana Mazlan, 8, yang maut selepas lehernya tersangkut pada jeriji tingkap bilik dalam kejadian di Kampung Losong Feri, dekat sini sedikit terubat dengan kunjungan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) pada Isnin.

Kunjungan diketuai Pengarah SME Corp Terengganu Muhammad Ibrahim itu turut disertai Ketua Daerah Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia Kuala Terengganu, Suzana Mohd Salleh.

Muhammad berkata agensi di bawah Miti serta usahawan di Terengganu mengambil inisiatif mengumpulkan derma kilat dan hamper untuk disumbangkan kepada ibu arwah, Ruhaizan Ad Zain, 48, yang merupakan ibu tunggal.

"Kami turut bersimpati dengan tragedi yang menimpa arwah dan berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban kesedihan yang dialami Ruhaizan.

"Kami turut bersedia menghulurkan sumbangan yang sesuai untuk memenuhi keperluan semasa keluarga ini, terutama jika ada anggota keluarga ini yang ingin memulakan perniagaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi Ruhaizan pula beliau reda dengan kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu dan menganggapnya sebagai ujian Allah.

"Arwah ni murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Bukit Losong, memang sangat manja dengan keluarga kerana dia satu-satunya anak perempuan daripada lima beradik.

"Arwah juga rapat dengan kawan-kawan dan suka menolong guru-gurunya di sekolah, membuatkan kami sangat terasa dengan kehilangannya," kata beliau yang bekerja sebagai tukang sapu di Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Dalam kejadian 7 Ogos lepas, mangsa dipercayai cuba keluar bilik melalui tingkap selepas mendapati pintu bilik terkunci, namun tindakannya itu gagal selepas la lehernya tersangkut pada besi berkenaan.


SME Corp

Artikel Lain