suria

Felda Peruntuk RM100 Juta Biayai Infrastruktur

KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memperuntukkan RM100 juta setiap tahun bagi membiayai infrastruktur dan pembangunan sukan di tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Pengurus Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad berkata sebagai contoh semua rancangan Felda di seluruh negara dibangunkan dengan gelanggang futsal.

"Kita bina gelanggang futsal di rancangan Felda antaranya untuk membina kemahiran (futsal) untuk anak-anak peneroka, kita buat semua itu dalam usaha melahirkan pemain terbaik dalam bola sepak terutama bagi pasukan Felda United yang kita sasarkan memperoleh satu piala.

"Selaku Presiden Felda United, harapan saya agar kita mampu menjulang Piala Malaysia, harapan kita agak besar kerana Felda itu sendiri adalah besar," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Felda wilayah Terengganu di sini.

Faizoull berkata mengenai pasukan Felda United, kini ia sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi Piala Malaysia.

Katanya Felda United telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan negeri-negeri dan pasukan dari Liga Super.

Beliau berkata persiapan rapi itu perlu kerana Felda United akan bertemu Lion XII dalam perlawanan pembukaan, Rabu ini.

"Saya selaku Presiden Felda United akan memberi sokongan moral kepada pasukan itu untuk memenangi perlawanan berkenaan. Ini kerana ia merupakan perlawanan pembukaan dan Lion XII merupakan pasukan yang kuat," katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata Felda United ditubuhkan antaranya bertujuan untuk membantu negara melahirkan generasi baharu pemain bola sepak yang berkaliber dan berbakat dari Tanah Rancangan Felda di seluruh negara.


Felda

Artikel Lain