suria

Halangan Bukan Tarif Kekal Penghalang Terbesar AEC - Nazir

Nazir Razak
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak membidas negara anggota Asean kerana terus meletakkan sekatan kepada perdagangan, seperti Halangan Bukan Tarif (NTB) yang merupakan halangan utama kepada pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).


Beliau berkata, meskipun banyak inisiatif baik yang dilancarkan oleh Asean, kebimbangan lebih serius tentang perkumpulan serantau itu ialah peraturan negara yang bertujuan untuk melindungi industri dan kepentingan domestik.

"Walaupun hanya 18 bulan sahaja lagi daripada pelaksanaan AEC dan tarif telah turun mendadak, perdagangan sesama Asean tidak berubah pada kira-kira 25 peratus daripada jumlah perdagangan Asean sejak 2003.

"Ini membayangkan bahawa tarif mungkin bukan pemacu utama perdagangan dan aktiviti ekonomi seperti yang disangkakan, dan jelas tarif boleh diturunkan dengan mudah sekiranya terdapat halangan lain yang melindungi mereka yang mahu dilindungi," kata Nazir pada Siri Dialog Korporat sulung Chevening Alumni of Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, mungkin 'Asean Way' menjadikan ia sukar untuk mengenakan dasar domestik, tidak seperti Kesatuan Eropah di mana Suruhanjaya Eropah meluaskan kuasa untuk menyiasat NTB dan juga terdapat Mahkamah Eropah untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan.

Malahan, sehingga hari ini proses Asean adalah dalam keadaan bahawa NTB dilaporkan sendiri oleh negara-negara anggota.

"Di Asean Business Club, kami berusaha untuk memahami tahap NTB dan apa yang boleh dilakukan dengan melihat kepada isu-isu utama mengikut sektor. Kami mengadakan persidangan Menghapuskan Halangan di Singapura tahun lepas di mana persidangan meja bulat pengamal industri mengemukakan pelbagai laporan yang kini boleh didapati secara terbuka bagi mereka yang berminat," kata Nazir.

Beliau berkata, apa yang jelas daripada laporan itu ialah NTB merupakan halangan serius kepada penyepaduan ekonomi.

Sebagai contoh, dalam sektor penjagaan kesihatan, hanya lima daripada 10 negara anggota membenarkan pemilikan asing penuh dalam sektor penjagaan kesihatan mereka.

Asean tidak menyediakan sebarang layanan keutamaan bagi pelancong perubatan dan mereka masih belum mengguna pakai Perjanjian Pengiktirafan Bersama bagi penggajian profesional perubatan.

Sementara itu, kumpulan penerbangan menyatakan bahawa meskipun ada perbincangan bagi satu pasaran penerbangan tunggal Asean, masih terdapat banyak sekatan pemilikan dan kawalan-kawalan lain.

"Sektor utama lain yang kami kaji ialah perkhidmatan kewangan, yang sudah tentunya bidang utama saya. Dalam sektor perbankan kami masih lagi menunggu-nunggu rangka kerja akan datang bagi perbankan Asean yang masih tertangguh," kata Nazir.

Menurutnya selain peraturan pelesenan dan pemilikan, terdapat juga halangan dari segi pergerakan pekerja, maklumat dan pemusatan operasi.

"Pada masa yang sama, perbankan Asean masih lagi terus berpecah.

"Pada peringkat pasaran modal, kami juga melihat pelbagai tahap keputusan teragak-agak di pihak kerajaan yang mana ia agak mengejutkan," katanya.

Rangka Kerja CIS Asean dimulakan pada Oktober 2013 susulan memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh pihak berkuasa pasaran modal Malaysia, Singapura dan Thailand bagi membolehkan pengurus dana menawarkan produk pelaburan mereka secara terus kepada pelabur runcit menerusi proses yang diselaraskan.

Walaupun ia adalah satu kejayaan yang boleh diraikan, hanya tiga negara yang melaksanakannya.

Contoh lain ialah Hubungan Dagangan Asean (ATL) yang menjadi tumpuan banyak pihak.

ATL yang dilancarkan pada September 2012, menyepadukan pasaran ekuiti di Malaysia, Singapura dan Thailand bagi menyediakan kepada pelabur satu platform tunggal untuk dagangan ekuiti Asean.

"ATL masih lagi tersekat di tahap awal. Dua pasaran utama, bursa Indonesia dan Filipina menangguhkan pembabitan mereka dengan ATL dan ada yang tertanya-tanya kenapa.. kerana secara realitinya pelabur boleh mengakses dengan mudah kepada pelbagai pasaran Asean menerusi pusat pembrokeran serantau seperti CIMB.

"Oleh itu, walaupun tidak banyak halangan negatif, masih ada sikap enggan menerima," kata Nazir.

Beliau menjelaskan sebagai sebuah bank, CIMB menembusi pasaran Asean lebih awal, malahan sebelum 2007.

CIMB telah menyaksikan sendiri politik menserantaukan perniagaan dan mendapati bahawa menjadi Asean tidak banyak membantu langsung pada peringkat kawal selia.

"Meskipun telah beroperasi di Indonesia sejak 2002, di Singapura mulai 2005, Thailand pada 2008 dan memasuki Kemboja pada 2010 dan lantang menyuarakan hasratm penyelarasan kami kepada Asean, tidak pernah sekalipun kami merasakan diiktiraf sebagai entiti Asean oleh mana-mana peraturan - anda sama ada orang luar atau orang tempatan," kata Nazir.

Masih terdapat kurang keyakinan terhadap AEC dan nasionalisme ekonomi masih kuat.

Beliau berkata, sektor swasta tidak boleh hanya sekadar menjadi pemain senyap dalam inisiatif penyepaduan.

"Anda melihat percambahan syarikat supranasional Asean seperti Axiata, Air Asia, Siam Cement, Straits Trading, Petron, Salim dan Rajawali.

"Mengapa? Ini disebabkan oleh sinergi rentas sempadan dan prospek AEC," katanya. 


Datuk Seri Nazir Razak, NTB, Asean

Artikel Lain