suria

Persatuan Kontraktor Melayu Laksana Projek Rakyat

IPOH: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri Perak dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan projek perumahan di bawah Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA).

Yang Dipertua PKMM Perak Datuk Jamaluddin Abdul Rahim berkata di bawah kerjasama yang dicapai pada bulan April tahun ini, satu pertiga daripada keseluruhan projek SRIA yang mensasarkan golongan memerlukan kediaman selesa dan sempurna, akan dilaksanakan oleh kontraktor yang bernaung di bawah persatuan tersebut.

"Setakat ini sebanyak 21 unit rumah SRIA yang setiap satunya bernilai RM50,000 dapat disiapkan oleh kontraktor dan 14 unit daripadanya siap mengikut tempoh masa yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa PKMM negeri Perak dan penyampaian sumbangan RM10,000 untuk anak yatim di bawah YBUDR di sini malam Selasa.

Selain itu beliau berkata projek pembinaan kediaman dan lot perniagaan di atas tanak milik kerajaan negeri di kawasan Meru Raya juga telah siap 65 peratus.

Katanya projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun depan iaitu enam bulan lebih awal yang tempoh yang dijadualkan dan 95 peratus projek itu akan ditawarkan kepada golongan Bumiputera.

Jamaluddin juga berkata PKMM negeri Perak turut mengadakan lawatan sambil belajar ke luar negara seperti Vietnam tidak lama lagi untuk memberi pendedahan sektor pembangunan dan pembinaan kepada anggota persatuan.

Mengenai bantuan kepada golongan anak yatim, beliau berkata PKMM negeri Perak dan PKMM Daerah Kinta memperuntuk sebanyak RM30,000 bagi membantu mereka yang diletakkan di bawah YBUDR.

Sebagai permulaan sebanyak RM10,000 disampaikan malam tadi, manakala RM20,000 akan diagihkan kemudian, katanya.


Perak, Kontraktor

Artikel Berikut

Artikel Lain