suria

Pelabuhan Tanjung Manis Kendali 220,000 TEU Pada 2018

SIBU: Pelabuhan Tanjung Manis (TMP) di Tanjung Manis, Sarikei, dijangka dapat mengendalikan sekurang-kurangnya 220,000 TEU menjelang 2018.

Pelabuhan itu kini menjalani kerja-kerja pengembangan dari segi peningkatan kawasan simpanan kontena dan ruang berlabuh.

Menurut Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) yang memiliki pelabuhan itu melalui anak syarikat milik penuhnya, Tanjung Manis Integrated Port Sdn Bhd, kerja-kerja berkenaan dijangka siap pada 2015.

Pengarah Eksekutif TMP Sadiah Tu dalam surat berita suku tahunan perbadanan itu berkata pelabuhan tersebut yang secara rasminya mula beroperasi pada Julai 2009, mencapai pertumbuhan pesat, terutamanya dari segi pengendalian kargo kontena.

"Jumlah keseluruhan pengendalian kami meningkat daripada 4,900 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) pada 2009 kepada 93,000 TEU pada akhir tahun lepas," kata beliau.

Mengenai kerja-kerja pembesaran, beliau berkata ia termasuk melebarkan dermaga sebanyak 100 meter, memperluas kawasan penyimpanan terbuka dan bangunan pentadbiran.

Beliau berkata, fasa pembangunan seterusnya akan bergantung kepada permintaan untuk kemudahan lebih baik.

"Ini bagi menampung jumlah kargo yang lebih besar yang dihasilkan oleh industri sekitar seperti Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC), pembinaan kapal, kayu dan Hab Halal Tanjung Manis.

"Dengan Tanjung Manis kini membangunkan menjadi sebuah bandar baharu, pelabuhan itu berkembang seiring dengan sasaran menjadi Port City pada 2020," kata Sadiah.

TMP merupakan pelabuhan laut dalam asli yang terletak kira-kira 30 kilometer dari muara Sungai Rajang dengan draf 11 meter yang menyediakan tempat berlabuh selamat bagi kapal laut, menjadikannya pintu masuk ideal untuk perdagangan di kawasan tengah Sarawak.


Pelabuhan Tanjung Manis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain