suria

Malaysia Pamer Pelbagai Makanan Di New York

NEW YORK: Malaysia akan mempamerkan beraneka jenis produk makanan diproses pada New York Fancy Food Show (NYFFS) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 29 Jun, 2014.

NYFFS, salah satu pameran makanan terbesar dalam pasaran AS, menarik ramai pelawat dari luar negara.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di sini, Muhd Shahrulmiza Zakaria, berkata lapan syarikat Malaysia akan mempamerkan pelbagai produk makanan.

"Penyertaan di NYFFS bertujuan mempopularkan masakan Malaysia yang, seterusnya, akan mewujudkan permintaan bagi produk makanan, bahan dan rempah ratus Malaysia, sekali gus menggalakkan eksport makanan Malaysia yang mempunyai potensi pertumbuhan yang besar dalam sebuah pasaran yang terbuka bagi produk makanan baharu," katanya.

Muhd Shahrulmiza berkata suruhanjaya perdagangan bekerjasama dengan sebilangan persatuan perdagangan dan kumpulan-kumpulan lain yang mempunyai capaian kepada bukan sahaja pembeli, malah juga pengguna.

"Kita juga menggunakan pameran perdagangan seperti NYFFS untuk memasarkan produk kita.

"Pameran perdagangan adalah alat pemasaran yang sangat baik untuk menampilkan produk kita bukan sahaja kepada kalangan perdagangan, malah juga membuat pengguna sedar tentang rangkaian produk makanan yang boleh disediakan oleh Malaysia," katanya.

Beliau berkata tujuan suruhanjaya itu bukan sahaja untuk menampung pasaran etnik, malah juga pasaran arus perdana.

"Kita dapati semakin ramai orang Amerika mengunjungi restoran Malaysia di New York. Di NYFFS kita mempamerkan satu rangkaian makanan segera yang mudah disediakan dan tidak memerlukan banyak persiapan dan kerja memasak," katanya.

Antara jenama makanan terkemuka Malaysia di NYFFS itu nanti ialah Brahim's (rempah segera dan hidangan siap untuk dimakan), Linghams, Sharifah, Julie's Biscuits dan S & P (santan).

Penyertaan Malaysia di NYFFS dianjurkan sempena Program Dapur Malaysia. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain