suria

Kedah Minat Kerjasama Perdagangan, Pelancongan Dengan Johor

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika menghadiri mesyuarat bersama ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Johor dan Kedah di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Nusajaya di Johor Baru pada Selasa.

NUSAJAYA: Kerajaan Kedah berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan Johor khususnya dalam pembangunan sektor perdagangan dan pelancongan.

Menteri Besarnya Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sektor perdagangan yang menumpukan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta pelancongan dilihat berpotensi besar untuk ditinjau bagi memberi manfaat kepada rakyat.

"Kami mempunyai agenda untuk memperkenalkan produk Kedah ke Johor dan dalam masa yang sama membawa masuk produk Johor ke Kedah," katanya kepada pemberita selepas taklimat pembangunan 'Jalinan Transformasi' antara kerajaan Johor dan Kedah, di sini Selasa.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Rombongan kerajaan Kedah dalam lawatan dua hari ke negeri ini turut disertai 60 delegasi termasuk Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Mohd Puat Mohd Ali, exco kerajaan dan ketua jabatan.

Mukhriz berkata kejayaan Johor dalam membangunkan sektor pelancongan domestik dan bertaraf antarabangsa boleh dijadikan panduan kepada Kedah dalam meningkatkan sektor yang sama.

Beliau berkata selain Langkawi, terdapat pelbagai produk dan ikon pelancongan di negeri itu yang boleh dipromosikan kepada pelancong khususnya rakyat Johor.

Rakyat Kedah pula katanya sudah tentu berminat untuk melihat pelbagai tarikan di Johor terutamanya taman tema Legoland dan taman tema keluarga Puteri Harbour.

Menurut Mukhriz sebelum Johor, program jalinan seumpama itu dilaksanakan kerajaan Kedah dengan Melaka pada Februari lepas.

"Lawatan ini juga bertujuan untuk mempelajari pengalaman Johor dalam membangunkan pelbagai bidang lain termasuk pengeluaran dan perkhidmatan serta minyak dan gas selain mengeratkan hubungan silaturahim sedia ada," katanya, dan menambah kerajaan Kedah lebih selesa melakukan lawatan ke negeri-negeri sebelum ke luar negara.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya mengalu-alukan kunjungan kerajaan Kedah dan percaya kerjasama kedua-dua kerajaan negeri juga sudah terjalin sejak zaman dahulu lagi terutamanya dalam perdagangan.

"Ini adalah permulaan untuk kita berkongsi pengalaman. Kedah kaya dengan sektor pertanian seperti padi manakala Johor merupakan pengeluar makanan berasaskan tanaman," katanya.


Kedah, Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain