suria

Kerajaan Komited Wujud Persekitaran Perindustrian Selamat

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyerahkan replika kunci jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat (Kenderaan Hazmat dan Decontamination) kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan (kiri) pada majlis penyerahan jentera tersebut di Kuala Lumpur pada Selasa. Turut sama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (dua, kiri). --fotoBERNAMA (2014) HAKCIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dan sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran dan ekosistem perindustrian yang baik agar lebih ramai pelabur tertarik dan berkeyakinan untuk melabur di Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan juga peka dengan keperluan semasa industri untuk memastikan aspek pencegahan, perlindungan dan penyelamatan diberi keutamaan.

"Sehubungan itu, sebanyak RM8.0 juta telah diperuntukkan bagi penyediaan dua unit jentera bomba "Hazmat" dan dua unit kenderaan "Decon" dalam menghadapi segala kemungkinan insiden kecemasan industri," katanya ketika majlis penyerahan jentera tersebut kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini, Selasa.

Empat jentera tersebut berfungsi menghapuskan ancaman bahan kimia untuk menangani kemalangan bahan berbahaya dan menjaga keselamatan pelaburan industri Elektrik dan Elektronik (E&E) serta kimia, yang kini bernilai RM203.4 bilion di negara ini.

Kesemua jentera itu dilengkapkan dengan kelengkapan terkini dan akan ditempatkan di dua lokasi kawasan perindustrian E&E dan kimia yang sedang pesat membangun di Alor Gajah, Melaka dan Bintulu, Sarawak.

Dengan penyerahan aset itu, JBPM kini memiliki 18 jentera Hazmat di seluruh negara dan buat pertama kalinya dua jentera Decon, yang ditempatkan di kawasan-kawasan industri berisiko tinggi.

Mustapa berkata industri E&E dan kimia merupakan penyumbang utama kepada pelaburan negara dalam sektor perkilangan.

Setakat Disember 2013, jumlah pelaburan E&E ialah RM161.8 bilion manakala pelaburan kimia sebanyak RM41.6 bilion, iaitu 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan bagi projek perkilangan yang telah dilaksanakan.

"Pelaburan kedua-dua industri ini juga telah mewujudkan sebanyak 809,000 peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) akan terus berusaha menarik lebih banyak lagi pelaburan termasuk dalam industri E&E dan kimia bagi melengkapkan ekosistem pelaburan negara.

Menurut Mustapa, usaha yang dilaksanakan Kerajaan untuk memudahkan perniagaan ini telah meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pelbagai tanda aras perniagaan antarabangsa.

Antaranya,laporan Bank Dunia Edisi 2014, yang meletakkan Malaysia sebagai negara keenam paling mesra perniagaan di dunia mendahului United Kingdom (ke-10), Jerman (21) dan Switzerland (29).

Malaysia juga dipilih sebagai negara ke-12 paling berdaya saing dalam kalangan 60 ekonomi utama dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan yang berpusat di Switzerland dalam laporan World Competitiveness Yearbook 2014.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan, Pengerusi Mida Tan Sri Amirsham A.Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Mida Datuk Azman Mahmud dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Miti

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain