suria

BSN Sasar 19 Juta Transaksi Melalui Ejen Perbankan

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan untuk mencapai 19 juta transaksi tahun ini melalui rangkaian ejen perbankan berdaftarnya (EBB) di seluruh negara.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Komunitinya, Yunos Abd Ghani, berkata sejak pewujudan EBB pada Januari 2012 hingga Mei tahun ini, bank itu telah mencatatkan kira-kira 20.2 juta transaksi bernilai lebih RM1.69 bilion.

Bank ini kini mempunyai 5,342 ejen di seluruh negara, dan ia menyasarkan peningkatan kepada 6,000 ejen menjelang akhir tahun ini, katanya dalam satu sidang akhbar selepas upacara menandatangani memorandum perjanjian dengan Singer Malaysia Sdn Bhd di sini pada Jumaat.

EBB ialah satu saluran perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank itu kepada pelanggan-pelanggan yang kurang menerima kemudahan perkhidmatan kerana ketiadaan bank. Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah deposit, pengeluaran tunai, pembayaran bil, pembelian eSSP, pembayaran tanpa tunai dan tambah nilai prabayar.

Yunos berkata melalui perjanjian dengan Singer Malaysia, bank komuniti itu kini mempunyai 39 agensi kesemuanya, yang telah menandatangani perjanjian dengannya untuk menggunakan kemudahan EBB.

Kerjasama itu akan menjadikan bank itu rakan kongsi langsung untuk menawarkan lokasi-lokasi yang lebih selesa bagi pembayaran ansuran melalui rangkaiannya di seluruh negara, kata beliau.

"Pembayaran itu akan dikendalikan melalui titik jualan yang membolehkan transaksi diselesaikan dalam masa sebenar dan pada masa yang sama tidak memerlukan penyimpanan fizikal," tegas Yunos.

Sementara itu, Pengarah Urusan Singer Malaysia, Yeap Dein Wah, berkata Singer telah bertapak di Malaysia sejak 108 tahun lalu dan ia merupakan satu daripada syarikat terawal yang memperkenalkan konsep bayaran mudah.

"Kami mempunyai 700 cawangan dan kira-kira 250,000 pelanggan aktif di seluruh negara. Kami akan menggalakkan penggunaan EBB sebagai saluran pembayaran mereka dan menjangka boleh menarik kira-kira 30 peratus pelanggan menggunakannya kerana ia membolehkan transaksi dijalankan dengan cekap dan mudah," katanya.

Beliau berkata pelanggan tidak lagi perlu membuat perjalanan yang jauh ke bandar terdekat untuk membuat pembayaran bulanan mereka, dan dengan kemudahan ini, syarikat itu berharap dapat meningkatkan penembusannya ke lebih banyak kawasan terpencil.

Katanya Singer mencatatkan pertumbuhan dua angka secara perbandingan tahun ke tahun dan mesin jahit masih merupakan produk terlarisnya.

Dengan pelbagai tawaran produk, dari barangan elektrik, perabot hinggalah kepada motosikal, syarikat itu berharap dapat memberikan kehidupan yang selesa dan lebih berkualiti kepada lebih ramai orang di kawasan-kawasan luar bandar tanpa membebankan mereka dari segi kewangan, kata Yeap.

BSN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain