suria

PPAKM Sasar 60 Juta Tan Ayam Kampung Setahun

KUALA TERENGGANU: Persatuan Penternak Ayam Kampung Malaysia (PPAKM) menyasarkan mengeluar 60 juta tan metrik ayam kampung setahun mulai tahun ini.

Presiden PPAKM Roslan Abdul Wahad yakin sasaran itu dapat dicapai dengan mendapatkan lebih ramai penternak di negara ini mengusahakan projek itu sebagai tambahan kepada 200 penternak ayam sedia ada di setiap negeri.

Menurutnya penternak sedia ada hanya mampu menghasilkan 32 juta tan metrik ayam kampung setahun, yang sekali gus tidak dapat menampung permintaan yang semakin tinggi.

"Kita mengharapkan sokongan yang lebih padu daripada pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan dan bukan kerajaan, bagi melahirkan lebih ramai usahawan untuk mencapai sasaran 60 juta tan metrik ayam itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Kelestarian Penternakan dan Keusahawanan Ayam Kampung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Terengganu Dr Abdul Razak Mohd Zailan serta Dekan Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT Prof Dr Sayed Mohd Zain Sayed Hasan.

Sementara itu, Dr Abdul Razak berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Veterinar bakal mengagihan 20 ekor ayam kampung kepada 300 penternak di setiap daerah di negeri ini tahun ini.

"Program yang dilaksanakan ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pengeluaran telur dan daging ayam kampung, malah turut memberi pendapatan sampingan kepada penternak.

"Kita yakin program yang dijalankan oleh kerajaan negeri ini melalui beberapa agensi lain, mampu memperkasakan industri ayam kampung dengan lebih jauh seperti mengeksport ke luar negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Seminar yang bertujuan memberi pendedahan mengenai potensi ternakan ayam kampung serta penjagaan dan cara menternak ayam tersebut, dihadiri 100 penternak dan pengusaha ayam kampung dari seluruh negeri. Empat kertas kerja dibentangkan oleh pakar ternakan ayam pada seminar itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain