suria

Thai AirAsia X Sasar 200,000 Penumpang Tahun Pertama

Buranasiri ketika majlis pelancaran destinasi AirAsia X Thailand ke Seoul bermula 17 Jun ini.

KUALA LUMPUR: Thai AirAsia X Co Ltd positif berhubung prospeknya dalam pasaran penerbangan Thailand dan mensasarkan untuk memberi perkhidmatan kepada 200,000 penumpang pada tahun pertama operasinya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nadda Buranasiri, berkata syarikat penerbangan kos rendah baharu ini akan mengadakan perkhidmatan ke tiga destinasi Asia mulai 17 Jun tahun ini.

"Anda akan lihat rangkaian 'sawang labah-labah' AirAsia berkembang sebaik sahaja kami memulakan operasi. Ini akan memberikan lebih banyak pilihan destinasi kepada bakal penumpang dalam Asean," katanya.

Nadda berkata demikian kepada media Malaysia dalam taklimat media serantau tentang syarikat penerbangan tambang murah baharu itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Dong Mueang.

Thai AirAsia X memulakan operasinya pada 22 April dan akan memulakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dong Mueang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan pada 17 Jun ini.

Thai AirAsia X akan juga memulakan penerbangan terus dalam laluan Jepunnya sebulan kemudian. Laluan Jepun ini melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai.

Thai AirAsia X ialah anak syarikat milik 48.9 peratus AirAsia Bhd.

Beliau berkata kecenderungan pengguna Thailand telah berubah sejak kemasukan syarikat penerbangan kos rendah seperti Thai AirAsia X dalam pasaran perjalanan negara itu sejak 10 tahun lalu.

"Tempahan tiket dalam talian adalah perkara biasa dalam kehidupan bagi pengembara muda berbanding 10 tahun lalu semasa orang membuat perjalanan ke destinasi-destinasi, walaupun dalam negara, melalui pakej pelancongan," kata Nadda.

Beliau menegaskan bahawa Thai AirAsia X akan memberikan tumpuan kepada usaha membina jenama dalam tahun pertama oprasinya sebelum memperluaskan laluan dan menambah bilangan pesawat.

Syarikat penerbangan kos rendah ini akan beroperasi menggunakan dua pesawat pajakan berbadan lebar ke ketiga-tiga destinasi ini.

"Pesawat ini dianggap baharu. Kedua-duanya berusia kira-kira lima hingga enam tahun," katanya.

Nadda berkata, Thai AirAsia X memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM26.1 juta hingga RM32.7 juta (AS$8 juta hingga AS$10 juta) untuk menyenggara pesawat-pesawat itu.

Syarikat itu yakin dalam berhati-hati tentang rancangan masa depannya dan akan mngambil kira situasi politik, sosial dan ekonomi di Thailand sebelum memulakan rancangan peluasannya.

"Buat masa ini, masa depan kelihatan cerah. Ia amat bergantung kepada situasi yang ada tetapi kami bersedia untuk menambah pesawat jika isyaratnya baik," katanya sambil menambah bahawa syarikat itu merancang untuk memasukkan China sebagai destinasi baharu tahun depan.

"Kami sedar ramai orang datang dari China ke Thailand untuk menikmati negara ini dan pada masa yang sama, pelancong Thailand ingin meneroka lebih banyak tentang China," tegas beliau. 


Artikel Berikut

Artikel Lain