suria

BP Healthcare Menang Anugerah Lagi

Beh (kiri) menerima anugerah daripada Pengarah Global (Growth Implementation Solutions) Frost & Sullivan, Mark Simoncelli baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Kumpulan BP Healthcare, penyedia khidmat penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia sekali lagi memenangi anugerah berprestij Syarikat Pemeriksaan Kesihatan Terbaik 2014 oleh Frost & Sullivan untuk tahun kedua berturut-turut.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Chevy Beh menerima anugerah itu bagi pihak syarikat pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Malaysia 2014 yang diadakan di Nusajaya, Johor, baru-baru ini.

Ini adalah kali ketiga Kumpulan BP Healthcare diiktiraf oleh Frost & Sullivan, kali pertama ketika menerima Anugerah Peningkatan Nilai Pelanggan Dalam Diagnostik kepada BP Diagnostic Centre pada 2010.

"Kami berbangga dan gembira memenangi anugerah berprestij ini untuk kali kedua. Ini adalah pengiktirafan terhadap peranan kepimpinan kami dalam industri penjagaan kesihatan di Malaysia dan usaha penambahbaikan yang berterusan dalam berdepan dengan cabaran dan tuntutan terhadap penjagaan kesihatan yang berkualiti.

"Anugerah ini menyerlahkan tahap kemahiran perubatan, perkhidmatan dan infrastruktur keseluruhan kumpulan yang menunjukkan komitmen syarikat untuk menyediakan penjagaan kesihatan inovatif dan yang berpatutan serta kemudahan sehenti kepada pelanggan serta menyokong sistem penjagaan kesihatan negara," katanya.

Penerima anugerah Frost & Sullivan dinilai daripada segi pendapatan, perkongsian pasaran, keupayaan dan sumbangan keseluruhan kepada industri untuk mengenal pasti amalan terbaik yang dilaksanakan.

Beh berkata, anugerah itu menjadi perangsang kepada kumpulan ini yang akan membuka hospital pertama di Johor Baharu tahun ini sebagai sebahagian rancangan pembesaran dan ia pencapaian penting untuk kumpulan yang bermula sebagai Makmal Klinikal BP di Ipoh pada 1982.

Kumpulan ini akan membuka dua lagi pusat pakar tahun ini, satu daripadanya di Pulau Pinang dan sebuah lagi di Skudai, Johor, di mana kumpulan itu bercadang menjadikannya hospital perintis dengan kapasiti antara 40 sehingga 60 katil.

BP Healthcare juga adalah makmal perubatan pertama di Asia yang diakreditasikan oleh Joint Commission International yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada 2011. Joint Commission International adalah peneraju global dalam memberi pentauliahan terhadap pertubuhan penjagaan kesihatan.

Ketika ini, syarikat mempunyai lebih daripada 100 cawangan di seluruh negara dan memiliki lebih 70 makmal dan masing-masing 50 pusat diagnostik, farmasi dan dispensari, pusat bantuan pendengaran serta pusat ujian makanan dan industri, selain lima pusat pakar penjagaan harian, tiga klinik pakar pergigian dan sebuah klinik mata.

Kumpulan BP Healthcare adalah penyedia khidmat penjagaan kesihatan bersepadu yang terkemuka di Malaysia dengan lebih 20 anak syarikat. Teras utamanya ialah bidang diagnostik, makmal dan teknologi perubatan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

MNRB Ringgit Savvy di MSAM

Artikel Lain