suria

AirAsia India Dijangka Beroperasi Selepas Seminggu

NEW DELHI: Direktorat Penerbangan Awam (DGCA) dijangka meluluskan permit operasi AirAsia minggu ini, yang akan membolehkan pelancaran operasi syarikat penerbangan tambang rendah India itu.

"Pasukan kami di Chennai akan menjalankan pemeriksaan dan menilai kebolehoperasian. Jika tiada kecacatan ditemui, kami akan meluluskan pemohonan," lapor Business Standard yang memetik pegawai kanan DGCA sebagai berkata.

Menurut laporan pegawai yang enggan namanya disiarkan itu, berkata permohonan tersebut boleh diluluskan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sementara itu, AirAsia India menghadapi tindakan undang-undang daripada syarikat penerbangan domestik sedia ada dan pemimpin parti politik, Subramanian Swamy, yang menfailkan petisyen ke atas pengeluaran permit, di Mahkamah New Delhi.

Swamy juga menemui Suruhanjaya Pilihan Raya India supaya menghalang DGCA daripada meluluskan permit berkenaan.

Petisyen itu akan didengar pada Rabu dan kelulusan permit akan tetakluk kepada keputusan petisyen itu, kata kementerian penerbangan awam dalam ulasannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya awal bulan ini.

Kementerian itu berkata permohonan AirAsia untuk memperoleh permit berkenaan dibuat kepada DGCA Oktober lepas, lama sebelum pilihan raya diumumkan.

"Kelulusan permit operasi udara bukan skim baharu dan tidak melibatkan kelulusan atau perbelanjaan kerajaan," kata kementerian itu dalam sepucuk surat.

"Pengeluaran lesen permit operator udara bergantung kepada sejauh mana syarikat pemohon berjaya memenuhi semua syarat dan peraturan yang ditetapkan, dan keputusannya tidak dapat dinyatakan pada masa ini memandangkan proses itu masih berjalan. Ia tertakluk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Delhi," katanya.

AirAsia India, usaha sama 49:30:21 antara AirAsia Bhd, Tata group dan Telestra Tradeplace, akan melancarkan perkhidmatan dari hab Chennai menggunakan pesawat Airbus A320.

AirAsia, India, Tata

Artikel Lain