suria

Pembeli Hartanah Berhati-Hati Berikutan 'Langkah Penyejukan' Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR: Penduduk Malaysia sedang menyesuaikan diri dengan 'langkah penyejukan' baharu dalam sektor hartanah, menyebabkan mereka berhati-hati sama ada mahu membeli atau melabur.

Mereka sedang menunggu untuk melihat bagaimana langkah kekangan diumumkan dalam Bajet 2014 akan menjejas pasaran hartanah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iProperty, Shaun Di Gregorio.

"Dalam pada penduduk Malaysia menerima dan bertindak balas terhadap langkah kekangan terbaharu itu, pasaran hartanah dijangkakan menghadapi kelembapan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Berdasarkan Laporan Sentimen Pasaran Hartanah Asia iProperty.com 2014 untuk separuh pertama tahun ini, beliau berkata, kemampuan dan harga rumah yang meningkat terus mencetuskan kebimbangan besar.

Berdasarkan skala satu hingga 10 - nombor satu sebagai golongan mampu membeli dan nombor 10 tidak mampu langsung membeli - responden menarafkan kemampuan semasa harga hartanah pada tahap 7.5, kata Di Gregorio.

Beliau berkata, 79 peratus daripada responden menjangkakan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan berkuat kuasa 1 April, 2015, akan menyebabkan risiko inflasi.

Hasil tinjauan itu, yang menarik 6,865 responden dari Malaysia, juga menunjukkan bahawa 70 peratus daripada mereka yakin GST akan menyebabkan harga hartanah meningkat.

Dari segi kawasan paling popular untuk melabur ialah Petaling Jaya, Ara Damansara, Puchong, Iskandar Malaysia, Pulau Pinang dan Melaka, kata Di Gregorio.

Beliau berkata 51 peratus daripada responden Singapura menyuarakan minat tinggi untuk melabur di Iskandar Malaysia dengan membeli hartanah diikuti kondominium.

Artikel Lain