suria

KWSP Salur RM72 Bilion Kepada Pengurus Dana Luaran Bagi Pelaburan Ekuiti & Pendapatan Tetap

Tan Sri Samsudin Osman

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyalurkan hampir RM72 bilion kepada pengurus portfolio luaran untuk melabur dalam ekuiti dan pendapatan tetap, mewakili kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan aset pelaburannya.

"Berpandukan Peruntukan Aset Strategik, penyumberan luar merupakan sebahagian daripada strategi diversifikasi pelaburan yang diguna pakai selaras dengan profil risiko-pulangan KWSP.

"KWSP meletakkan harapan tinggi terhadap pengurus-pengurus dana ini supaya mereka terus menyampaikan komitmen sepenuhnya untuk menguruskan dana secara profesional dan berhemah," kata Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman, pada Anugerah Tahunan Pengurus Portfolio Luaran 2013 di sini.

Tahun lepas, pengurus dana luaran KWSP mencapai prestasi cemerlang, yang telah membantu menyumbang kepada peningkatan kadar dividen kepada 6.35 peratus, iaitu yang tertinggi sejak tahun 2000.

Ia juga merupakan pembayaran dividen paling besar iaitu sebanyak RM31.20 bilion kepada pencarum.

Aset pelaburan KWSP meningkat secara purata 9 hingga 10 peratus setiap tahun dan berjumlah RM587 bilion pada akhir 2013, sekali gus meletakkan KWSP sebagai dana pencen berdaulat kelima terbesar di Asia dan ketujuh terbesar di dunia.

Samsudin berkata, KWSP akan terus melabur sebahagian dananya melalui pengurus dana luaran sebagai sebahagian daripada program pempelbagaiannya dan akan terus memantau prestasi mereka dalam memenuhi tanggungjawab fidusiari jangka panjang kepada ahli-ahlinya.

"Juga penting pengurus dana mengamalkan standard yang tinggi dalam tadbir urus korporat dan memastikan mereka mempunyai rangka kerja pematuhan dan struktur pengurusan risiko yang kukuh.

"Ini akan membantu menanam lebih keyakinan terhadap pasaran tempatan yang akhirnya akan meningkatkan lagi nilai pelaburan," jelas beliau.

AmInvestment Management Sdn Bhd telah dinobatkan sebagai Pengurus Portfolio Pendapatan Tetap Domestik Terbaik Tahun 2013, manakala anugerah Pengurus Portfolio Ekuiti Domestik Terbaik Tahun 2013 dimenangi oleh Franklin Templeton Asset Management Sdn Bhd.

KWSP, Tan Sri Samsudin Osman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain