suria

Legoland, Resorts World Genting Dapat Sambutan Hangat Di Sri Lanka

NEW DELHI: Taman tema Legoland dan Genting Resorts World adalah antara peserta pasaran perjalanan anjuran Tourism Malaysia yang mendapat sambutan hangat daripada agensi-agensi perjalanan di Sri Lanka.

"Kami berterima kasih kepada filem 'The Lego Movie' memandangkan ia berjaya menarik hampir separuh daripada 70 peratus ejen yang saya temui di sini.

"Ia juga memudahkan kami menjelaskan apa yang boleh mereka nikmati di taman tema itu," kata Pengurus Pelancongan dan Perjalanan Legoland, Owen Tan kepada Bernama selepas pameran pasaran perjalanan itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 Tourism Malaysia di Colombo.

Misi jualan ke Sri Lanka itu ialah yang pertama dan terbesar selepas empat tahun tidak dianjurkan.

Malaysia diwakili 50 penyertaan membabitkan pengusaha hotel, operator acara dan ejen pelancongan dan 160 ejen perjalanan keluar negara dari Sri Lanka.

Pasaran Asia Selatan, terutama India dan Sri Lanka, merupakan antara pasaran utama untuk Legoland berdasarkan kedudukannya yang dekat, dan menambah taman tema itu berminat meningkatkan pemasaran di rantau ini bagi menyebar luas taman tema berkenaan.

"Kira-kira 30 peratus ejen perjalanan keluar tidak mengetahui mengenai taman tema ini. Oleh itu kami perlu mendapatkan mereka," kata Tan.

Taman Tema Legoland di Malaysia adalah yang pertama di Asia Kesemuanya ada enam Taman Tema Legoland di dunia.

Bagi Resort Genting World, ia menyasarkan untuk memperoleh kejayaan yang sama seperti di India.

"Kami menerima ramai pelancong India ke Genting dan mahu menarik rakyat Sri Lanka pula," kata Penolong Pengarah Jualan Perjalanannya Catherine Wong, dan menambah ia merupakan misi jualan kedua Resort World di negara ini.

Resort Genting, katanya menerima kira-kira 75,000 pelancong India yang lazimnya tinggal selama dua hari.

"Kami juga mahu memberi maklumat mengenai perkembangan terkini yang berlaku di Genting," kata Wong.

Genting Malaysia Bhd baru-baru ini mengumumkan Pelan Pelancongan Bersepadu Genting yang menelan belanja RM5 bilion, membabitkan pelan induk 10 tahun untuk pembesaran dan menaik taraf hotel, taman tema dan infrastruktur.

Antara lain, Twentieth Century Fox World dan cadangan pembukaan Genting Premium Outlets yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung, katanya.

Sementara itu, Apollo Holidays Malaysia Sdn Bhd menerima banyak pertanyaan mengenai destinasi percutian di Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Presanth Chandra.

Buat masa ini, katanya Lembah Klang, terutama Genting, Pulau Pinang dan Langkawi, merupakan lokasi paling popular dalam kalangan pelawat Asia Selatan.

"Oleh itu, kami akan terus memberi tumpuan ke atas tempat-tempat ini sebelum menambah lokasi lain," katanya.

Resorts World Genting, Legoland

Artikel Lain