suria

Sedih terpaksa gadai cincin kahwin isteri... Bekas pakar syarikat minyak terduduk dibuang kerja, jual Quesillo langsai komitmen RM10,000 sebulan

Syazani dan isteri memulakan bisnes Quesillo pada Ramadan lalu.

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini cukup berbeza buat lelaki ini yang tidak merasai nikmat kegembiraan melainkan rasa sayu dan sedih.

Bukan disebabkan kehilangan orang tersayang sebaliknya Mohd Syazani Ali Mohtar sedang bergelut demi kelangsungan hidup selepas diberhentikan kerja hanya beberapa hari sebelum bulan Ramadan lalu.

Mohd Syazani yang sebelum ini memegang jawatan sebagai pakar pembangunan organisasi di sebuah syarikat minyak terkemuka berkata, dia juga terpaksa menjual cincin perkahwinan isterinya bagi memulakan bisnes pada awal bulan puasa.

Kisah sedih itu dikongsikan Mohd Syazani di Threads miliknya sebagai penghargaan buat isterinya yang sanggup berkorban untuk diri dan keluarga. 

Hantaran mengenai cincin kahwin isterinya yang digadai selepas diberhentikan kerja.

Hantaran mengenai cincin kahwin isterinya yang digadai selepas diberhentikan kerja mngundang sebak dalam kalangan netizen.

Menceritakan semula detik sukar itu, lelaki berusia 38 tahun ini memberitahu dia telah bekerja selama setahun setengah di syarikat terbabit sebelum diberhentikan kerja.

Namun sepanjang tempoh tersebut, dia belum disahkan sebagai kakitangan tetap malah berharap ada ruang dan peluang untuk terus berkhidmat berdasarkan kemahiran dimiliki.

"Saya merupakan individu ketiga mengisi posisi tersebut dalam tempoh 18 bulan. Pelbagai inisiatif saya lakukan termasuk membawa tokoh besar seperti Tan Sri Nazir Razak memberi perkongsian secara percuma.

"Malah tokoh ternama iaitu Azran Osman Rani juga bersetuju hadir dengan harga diskaun tetapi ditolak oleh ketua saya ketika itu," kongsinya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pramugara sebak pertama kali rai Aidilfitri di perantauan, siap bawa baju raya 'terbang' bersama

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali kena tinggal, duda anak 1 jumpa pengganti di Korea Selatan! 4 bulan kenal terus nikah, kini ‘masyuk’ jual cadar

Lebih memilukan kata anak jati Sungai Besar, Selangor ini, pemberhentian itu berlaku ketika dia memikul komitmen bulanan yang tinggi iaitu mencecah RM10,000 sebulan.

Itu belum ditambah dengan kos isterinya Mya, 33, yang baru sahaja menjalani pembedahan akibat masalah slip-disc.

Mohd Syazani juga menyatakan dia turut mendapatkan rawatan psikologi susulan situasi dibuang kerja dan tekanan kewangan.

"Saya kena kuat, saya juga ada berjumpa pakar psikologi untuk pastikan kesihatan mental saya terjaga demi anak-anak... mood raya dah hilang," tambahnya lagi.

Enggan terus meratap, Mohd Syazani dan isteri mula mencari peluang perniagaan dengan memantau trend semasa pengguna di TikTok.

  • Lelaki hilang kerja beberapa hari sebelum Ramadan, ‘mood’ raya turut hilang.
  • Setahun setengah bekerja tapi jawatan tidak pernah disahkan.
  • Tanggung komitmen RM10,000 sebulan, isteri pula baru jalani pembedahan slip-disc.
  • Bangkit berniaga kek Quesillo hasil inspirasi trend TikTok.
  • Raya sederhana, tetap kuat demi keluarga sambil terus cari kerja tetap.

"Kami nampak satu produk tular di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan terinspirasi untuk melakukannya sendiri.

"Selepas mengira kos, kami yakin yang jualan Quesillo boleh survive untuk bayar sewa rumah dan komitmen lain," jelas bapa kepada dua cahaya mata berusia lapan dan empat tahun ini.

Memulakan perniagaan kek secara kecil-kecilan di bazar berdekatan rumah, dia mengakui fasa awal tidak semudah disangka. 

Malah, eksperimen pertamanya gagal sehingga Quesillo dihasilkan menjadi lembik seperti bubur.

"Hari Sabtu dan Ahad pun kadang-kadang terjual empat loyang sahaja, kalau dapat jual lebih lapan loyang... itu dah kira sangat baik buat kami," luahnya.

Fauziah Ahmad Daud ketika membeli Quesillo dan turut membuat infaq Ramadan lalu.

Pelakon Fauziah Ahmad Daud membeli Quesillo jualannya dan turut membuat infaq Ramadan.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Mohd Syazani mengakui dia dan isteri tidak sempat memikirkan soal persiapan raya.

Bagi mereka, fokus utama adalah memastikan kestabilan mental dan kewangan selepas diuji dengan kehilangan pendapatan secara tiba-tiba.

"Baju raya anak-anak kami dah sediakan, isteri pula beli yang berharga RM25 di pesta raya manakala saya beli jualan bulan November tahun lalu dengan diskaun tinggi.

"Raya pertama pun, saya buat kek kerana telah menerima tempahan tapi jumlahnya sedikit," jelasnya.

Walaupun masih aktif mencari pekerjaan tetap, Mohd Syazani tekad meneruskan perniagaan Quesillo sebagai sumber sampingan memandangkan sudah mula mendapat kepercayaan beberapa lokasi premis makanan terkemuka.

Dia juga telah menjadi pembekal utama di beberapa outlet teppanyaki berhampiran rumahnya selain turut mendapat tempahan daripada beberapa selebriti tempatan seperti Fauziah Ahmad Daud.

Artikel Lain